KJ CABAR NAJIB?

Khairy Jamaluddin atau KJ mahu BN memperolehi sekurang-kurangnya 51 peratus undi popular, selain majoriti undi elektoral dalam PRU 14 akan datang agar dapat mentadbir negara dengan mandat yang kukuh.

Ketua Pemuda UMNO itu berkata, langkah tersebut adalah perlu supaya tidak wujud pertikaian di Dewan Rakyat mengenai pihak mana yang lebih layak menubuhkan kerajaan dan mentadbir negara.

“Kita tahu dalam sistem demokrasi, parti yang mempunyai kerusi majoriti adalah berhak untuk menubuhkan kerajaan.

“Tetapi bagi saya, selain memperolehi kerusi majoriti, BN juga perlu kejar undi popular kerana tidak mahu ada yang pertikaikan kemenangan itu…jika kita boleh dapat 51 peratus undi popular, itu bermakna kita sudah menang,” katanya yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Saranan KJ itu sememangnya sesuatu yang logik dan relevan bagi mana-mana kerajaan. Sebelum ini undi elektoral yang dimenangi BN tidak pernah terpisah daripada undi popular, kecuali bagi pilihanraya 2013 yang lalu di mana BN buat pertama kalinya dipimpin oleh Najib Razak.

Dalam pilihanraya tersebut, walaupun BN menang 133 kerusi Parlimen mengalahkan Pakatan Rakyat yang mendapat 89 kerusi, tetapi undi popularnya hanyalah 47 peratus berbanding 52 peratus oleh pihak lawan.

Ia mencetuskan tanggapan bahawa rakyat atau pengundi pada pilihanraya 2013 lalu memang ingin menolak dan menyingkirkan Najib, UMNO dan BN, cuma ia terhalang oleh sistem pilihanraya yang negara kita amalkan.

Lanjutan daripada itu, sebelum Anwar di penjara dahulu, beliau ada mengingatkan bahawa sekiranya pakatan pembangkang mahu menumbangkan UMNO dan BN, perolehan undi popular mesti ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 60 peratus yang sekaligus memungkinkan jumlah kerusi yang mencukupi bagi pembentukan sebuah kerajaan baru.

Dalam konteks saranan KJ itu, siapakah yang lebih tercabar untuk mencapainya?

Parti-parti komponen BN yang bertanding bersama jentera pilihanraya mereka atau Najib sendiri yang sarat dengan pelbagai masalah, isu dan beban menyusahkan rakyat?

Mampukah BN mencapai matlamat seperti yang disarankan oleh KJ selagi Najib masih ada sebagai Perdana Menteri?

Jika dalam pilihanraya 2013 pun BN hanya dapat undi popular sebanyak 47 peratus sedangkan ketika itu belum timbul isu 1MDB, derma RM2,600 juta serta Tun Mahathir Mohamad masih bersama UMNO, mampukah Najib diterima dengan lebih baik oleh pengundi di pilihanraya akan datang dalam keadaan segala-galanya sudah jauh berbeza berbanding pilihanraya lalu?

Adakah dalam hal ini, KJ secara tersiratnya sedang mencabar dan menekan Najib untuk menyedari reputasinya sebagai Perdana Menteri yang kian merosot secara realiti di depan mata dan dalam masa yang sama keperluan BN untuk mencapai kemenangan dengan lebih baik juga merupakan suatu tuntutan yang tidak boleh lagi untuk dikompromi?

– shahbudindotcom.blogspot.my

.