‘KITA PERLUKAN ORANG SEPERTI JAMAL’ – AMT UMNO SOHAIMI

SELAYANG – “Kita perlukan orang seperti (Datuk Seri) Jamal Yunos bagi mewakili silent majority,” ulas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan.

Sohaimi berkata, isu rumah urut dan pusat judi yang disampaikan secara kreatif dan sindiran adalah satu tindakan berani.

Menurutnya, beliau yakin ramai yang menyokong tindakan Jamal dalam menegur kegiatan tersebut yang dilihat semakin membimbangkan di Selangor.

“Jamal berani dan konsisten. Kerajaan negeri seharusnya menerima teguran tersebut walaupun ia dibuat secara simbolik dan bukan mempolitikkannya,” katanya ketika pada program Ziarah Kasih anjuran Yayasan Jamin di Apartmen Nuri di Bukit Idaman.

Jelasnya, beliau berharap keputusan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar untuk melepaskan semua jawatan disandangnya dapat dikaji semula.

“Beliau bukan hanya mewakili suara politik sebaliknya sebagai pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai.

“Luahan Jamal untuk lepaskan jawatan adalah klimaks kepada perjuangannya selepas isu yang dibawa tidak menerima maklum balas daripada pihak kerajaan negeri.

“Tak perlu kita persoalkan tindakannya kerana itu adalah caranya dalam menyampaikan keluhan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sohaimi yang juga Pengerusi Yayasan Jamin berkata, program bertemu rakyat itu adalah peluang kepada masyarakat menyalurkan aduan setempat terus kepada yayasan itu.

“Mungkin mereka ada masalah tapi tak tahu caranya jadi bila kita turun padang ini saluran bantuan bersesuaian disyorkan.

“Kita ada letakkan sasaran dan selain ziarah, program bersesuaian turut disusun dalam usaha menyalurkan bantuan,” katanya.

– Sinar Harian

.