KITA AKAN HALAU PESTA IKAN JAMAL – MBPJ

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos perlu memohon permit jika berhasrat mengadakan jualan ikan di himpunan antikleptokrat Pakatan Harapan (HARAPAN) di Padang Timur, Sabtu ini, kata, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

image: https://i.malaysiakini.com/1109/5ae00cea929e056a1f065362ea487757.jpeg

Setakat ini, kata Mohd Aziziz, Jamal yang juga adalah pemimpin Gerakan Baju Merah masih belum memohon permit dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Bukan sahaja Jamal, sesiapa yang ingin menjalankan sebarang jenis perniagaan atau mahu menjual ikan di Padang Timur atau mana-mana tempat di Petaling Jaya, perlu memohon permit.

“Kalau tidak ada permit, kita akan halau dia keluar. Saya akan (arah anggota) penguatkuasa pergi angkat dia, keluarkannya,” katanya kepada Malaysiakini.

Datuk Bandar itu ditanya sama ada Jamal akan dibenar meneruskan gimik pada himpunan “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi” pada Sabtu ini.

Menurutnya, penganjur perhimpunan anti-kleptokrasi itu sudahpun mendapat izin untuk menggunakan Padang Timur dan juga membenarkan menjual barangan dan minuman pada acara yang sama.

Terdahulu awal hari ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim menasihatkan Jamal supaya jangan menimbulkan kekacauan dan huru-hara pada Sabtu ini dengan gimik menjual ikan.

Bulan lalu, ahli politik yang terkenal dengan gimik kontroversi itu menjual pelbagai jenis ikan pada harga RM5 sekilogram.

Ia sebagai protes kepada orang tengah yang didakwanya bertanggungjawab terhadap kenaikan harga ikan. Jamal mendakwa orang tengah itu menyokong pembangkang dan menaikkan harga ikan atas tujuan politik.

Beliau juga baru-baru ini, mensasarkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan acara anjurannya yang dinamakan “Pesta DAP” – Dapat Aiskrim Percuma.

– M’kini

.