KIT SIANG: TIDAK MASUK AKAL SAYA JADI PM

GEORGETOWN – Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Kabinet bayangan yang disebarkan melalui media sosial yang mengangkatnya sebagai Perdana Menteri sebagai propaganda Umno terhadap DAP.

Beliau berkata, Kabinet bayangan itu juga dilihat sebagai tidak masuk akal berikutan turut menamakan bekas Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Menurutnya, beliau percaya barisan Kabinet bayangan itu adalah ciptaan cyber troopers Umno dan BN.

“Mana mungkin saya akan diangkat sebagai PM. Lebih tidak masuk akal, Tun M pula dinamakan menjadi timbalan saya.

“Buat pertama kali dalam sejarah 60 tahun negara, saya disenaraikan dalam dua  jawatan penting negara dan dibantu Tun M,” katanya kepada media, semalam.

Kit Siang berkata, cyber troopers Umno dan BN sengaja mereka senarai Kabinet palsu bertujuan menakut-nakutkan rakyat.

“Saya agak berbesar hati kerana ini kali pertama saya dilihat bakal menjawat jawatan PM.

“Dalam 51 tahun saya dalam dunia politik, tidak pernah terlintas di fikiran untuk jadi PM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung senarai barisan Kabinet yang dinamakan Barisan Kerajaan Baru 2017 Pakatan Harapan yang viral di media sosial.

Turut tersenarai dalam senarai itu adalah 22 nama pemimpin pembangkang serta portfolio masing-masing antaranya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Nga Kor Ming, Mahfuz Omar, Tony Pua, Gobind Singh Deo, Anthony Loke, Tian Chua, Khalid Samad dan Rafizi Ramli.

Kit Siang berkata, beliau percaya Tun M juga tidak mahu kembali menyertai Kabinet berikutan faktor umur.

– http://www.sinarharian.com.my/politik/tidak-masuk-akal-saya-jadi-pm-1.595658

.