Kit Siang terkejut hanya satu soalan 1MDB oleh BN

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata beliau sekali lagi terkejut kerana hanya bekas menteri kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengemukakan soalan mengenai 1MDB di parlimen.

Katanya, tiada ahli parlimen dari MCA, Gerakan, MIC atau parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak berani bertanya mengenai ‘skandal global’ berkenaan.

“Adakah kerana mereka telah mendapat semua jawapan atau mereka yakin bahawa skandal kewangan global 1MDB bukan skandal sama sekali?” soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan daripada 1,283 soalan lisan dan 543 soalan bertulis yang dikemukakan untuk Parlimen minggu depan, semua soalan mengenai 1MDB adalah dari ahli parlimen Pakatan Harapan, kecuali daripada Husni.

Soalan Husni, katanya, diajukan kepada Kementerian Kewangan yang meminta mereka menyatakan sama ada 1MDB dan SRC International telah mencapai tujuan pembentukannya.
“Soalan ini oleh Husni menjelaskan banyak perkara.

“Malah, Husni harus menjawab soalan sendiri, kerana beliau adalah Menteri Kewangan kedua sehingga baru-baru ini beliau berhenti dari kabinet apabila beliau tidak dapat tahan dengan tekanan untuk mempertahankan skandal kleptokratik 1MDB,” katanya.

– M’kini

.