KIT SIANG TAK LAYAK PERSOAL LAWATAN NAJIB KE AS

KOTA BHARU- Tindakan Penasihat Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang menghantar surat terbuka kepada kabinet untuk menghalang lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat (AS) dilihat mempunyai unsur cemburu pemimpin pembangkang.

Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Kit Siang tiada hak untuk menghalang Najib melawat Presiden Amerika Syariat, Donald Trump di Rumah Putih kerana ia adalah lawatan rasmi kerajaan.

“Siapa Lim Kit Siang tu? Who is he? Dia tiada hak dan kedudukan untuk menentukan Perdana Menteri nak lawat negara dan pemimpin mana.
“Dia (Lim Kit Siang) sebenarnya cemburu dan dengki apabila Najib mempunyai hubungan negara kuasa besar, ini menunjukkan Najib adalah pemimpin hebat peringkat antarabangsa,” dakwanya kepada pemberita selepas Majlis Korban Perdana Pergerakan Wanita Umno Negeri Kelantan, di kediaman Ketua Penerangan Umno Negeri, Zarina Md Eusope, hari ini.
Pada majlis berkenaan, 11 lembu ditumbangkan untuk dibahagikan kepada asnaf dan penduduk sekitar Parlimen Pengkalan Chepa.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman, timbalannya Ismail Omar, naibnya, Wan Shahrul Azuan Abd Aziz, Penyelaras Dun Chempaka, Mohamed Fareez Nor Amran dan Ketua Wanita Umno Negeri, Datin Senator Rahimah Mahamad.

Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kepimpinan Najib juga turut diiktiraf beberapa negara lain termasuk China, India dan Jepun.

Terdahulu, dalam perkembangan lain, Tajuddin mengulas mengenai tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengakui mahukan Pakatan Harapan berganding dengan Pas pada PRU14 akan datang.

“Itu menunjukkan Pakatan Harapan tiada harapan untuk menang jika tiada sokongan daripada Pas.

“Saya yakin Pas sudah serik dengan sikap DAP dan PKR, juga sesetengah bekas pemimpin Pas kini duduk dengan Amanah. Mereka sebenarnya tak sehati sejiwa, malah ada agenda antara satu sama lain,” dakwanya.

– Sinar Harian

.