KIT SIANG, PEMUDA BERSATU TUNTUT ZAHID MOHON MAAF KEPADA DR MAHATHIR

TERDAPAT gesaan yang semakin kuat mendesak Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kepada Dr Mahathir kerana menyentuh keturunan bekas perdana menteri itu pada mesyuarat agung tahunan Umno Bahagian Kelana Jaya minggu lepas.

Ketua Parlimen DAP itu berkata, semua perdana menteri mempunyai campuran susu galur dan keturunan dan  amat memalukan apabila politik Malaysia dicemari dengan penghinaan ke atas keturunan masing-masing.

Kit Siang juga berkata lebih elok sekiranya Zahid mengakui sahaja kesilapan dalam pertimbangannya itu.

“Zahid harus memohon maaf saja supaya negara boleh terus bersiap-sedia menyambut ulangtahun Hari Kemerdekaan ke-60 yang akan tiba 30 hari dari sekarang,” kata Kit Siang dalam sidang akhbar di bilik media di Parlimen hari ini.

Awal hari ini, Pemuda Bersatu mengadakan perhimpunan di luar Parlimen, menuntut Zahid membuat permohonan maaf di atas penghinaannya terhadap keturunan Dr mahathir.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 20 ahli Pemuda Bersatu dari cawangan Wilayah Persekutuan dan Selangor itu turut mempersoalkan integriti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana mendedahkan maklumat sulit yang melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi.

Ketua Pemuda Bersatu Zahin Zainal berkata, Zahid harus memohon maaf kepada Dr Mahathir bukan kerana status Dr Mahathir sebagai pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan, tetapi sebagai rakyat Malaysia.

“Menurut Akta Perlindungan Maklumat Peribadi, perlu ada sebab tertentu apabila seseorang ingin mendedahkan maklumat sulit atau mendapat kebenaran daripada pemilik,” katanya kepada pemberita.

Pemuda Bersatu memberi tempoh selama seminggu kepada Zahid untuk memohon maaf.

Zahid juga dijemput untuk menghadiri forum ‘Nothing to Hide 2.0’ anjuran Pemuda Bersatu pada 31 Ogos, di mana Dr Mahathir sudah mengesahkan kehadiran.

Forum itu sebagai platform untuk menjawab pelbagai soalan orang ramai mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beberapa laporan polis dibuat ke atas Zahid dan ketua pengarah JPN kerana mendedahkan maklumat sulit Dr Mahathir.

JPN adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Pada mesyuarat agung tahunan Umno Bahagian Kelana Jaya Ahad lepas, Zahid menyentuh keturunan Dr Mahathir sambil menunjukkan gambar kad pengenalan lama bekas perdana menteri itu di telefonnya.

Kata Zahid, pada kad pengenalan itu tercatit nama “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

– https://www.themalaysianinsight.com

.