KIT SIANG KINI SEDIA BEKERJASAMA DENGAN BN PULA

Selepas menimbulkan polemik bahawa beliau bersedia untuk bekerjasama dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menyelamatkan Malaysia, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini berkata beliau bersedia bekerja dengan pemimpin atasan BN.

Menurut Lim, beliau bersedia untuk bertemu dengan pemimpin kanan MCA, Gerakan, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, untuk membincangkan cara untuk “membersihkan dan menyingkirkan” segala keaiban dan kehinaan Malaysia akibat dilihat sebagai negara kleptokrasi.

“Saya bersedia untuk bekerja bukan sahaja dengan Hadi, tetapi dengan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong, Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam dan semua pemimpin BN Sabah dan Sarawak.

“Saya bersedia untuk berjumpa dengan Liow dan Mah di sebarang tempat, bila-bila masa dalam tempoh 72 jam. Adakah mereka perlu mendapatkan kelulusan Umno sebelum bertindak?” soalnya pada sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini.

Semalam, Lim menafikan salam perdamaian yang dihulurkannya itu hanya sekadar tindakan berpura-pura disebalik kelantangan Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Lim berkata keutamaanya adalah menyelamatkan Malaysia sekarang daripada masalah kleptokrasi.

Berikutan itu, pemimpin BN, termasuk Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon, menyelar Lim dan menuduh parti itu sedia mengabaikan hak masyarakat bukan Islam demi untuk merampas Putrajaya.

– M’kini

.