KIT SIANG: KAMI BUKAN BONEKA SESIAPA

KULAI – Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menafikan dakwaan pemimpin BN bahawa parti pimpinannya mendominasi Pakatan Harapan dan mempergunakan pemimpin komponen dalam pakatan itu untuk mencapai hasratnya menjadi Perdana Menteri.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, kesemua pemimpin dalam pakatan berkenaan mempunyai prinsip politik dan pendirian masing-masing malah mereka saling menghormati pandangan satu sama lain.

“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi Perdana Menteri, ini adalah mustahil. Adakah anda percaya Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun menjadi boneka saya.

“Adakah rakyat percaya (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), (Datuk Seri Wan) Azizah (Presiden PKR) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (presiden Bersatu) menjadi boneka saya dan saya menjadi boneka mereka.

“Kami ada prinsip sendiri jadi mengapa kita mahu jadi boneka kepada orang lain,” katanya pada majlis pertemuan bersama penduduk Senai dalam program ‘Brunch with Kit Siang’ di Indahpura di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil agar beliau mengambil alih peranan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang bagi mengelakkan orang Melayu terpedaya dengan muslihat politiknya dan DAP.

Dalam pada itu Kit Siang berkata, dakwaan berkenaan hanyalah kempen Umno yang mula bimbang dengan pengaruh Pakatan Harapan dan bertujuan mewujudkan ketakutan dalam kalangan pengundi Melayu.

“Sudah wujud gelombang perubahan politik bukan sahaja dalam kalangan masyarakat di bandar tetapi juga luar bandar termasuk di Felda-felda.

“Mereka (BN) sudah takut jadi mereka tanam kebencian terhadap DAP dan saya menjadi alat supaya orang Melayu bimbang sekiranya Umno jatuh dan Malaysia dikuasai Cina menyebabkan Melayu akan ditindas,” katanya.

Pada masa sama Kit Siang menegaskan, parti pimpinannya tidak pernah memperjuangkan dasar anti-Melayu atau anti-Islam sebaliknya mendukung kebajikan semua kaum dan agama bagi memastikan pemerintahan yang lebih baik berbanding BN.

– SH