Kit Siang, Dr M bersama hindar ‘Najib kedua’

Sekali lagi pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mempertahankan tindakannya bekerjasama dengan bekas seterunya Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempen pembangkang mengalahkan BN.

Bercakap sempena sambutan ulang tahun ke-50 DAP di Bayan Baru, Pulau Pinang malam tadi Kit Siang berkata keputusannya bersama-sama Dr Mahathir adalah demi masa depan Malaysia..

Kit Siang juga sempat bertanya kepada orang ramai yang hadir sama ada mereka menyokong keputusan DAP bergandingan tangan dengan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu serta parti barunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Kebanyakan hadirin yang memenuhi lebih 300 meja makan malam itu mengangkat tangan sebagai tanda sokongan.

“Dr Mahathir dan saya diserang pelbagai pihak terutama pelampau Melayu kerana duduk bersama semasa pelancaran Deklarasi Rakyat.

“Bagaimanapun kami memandang ke depan dan melihat masa depan,” kata anggota parlimen Gelang Patah berkenaan.

Menurut Kit Siang melalui kerjasama dengan Dr Mahathir, beliau menyokong gagasan Pakatan Harapan bagi menghadapi BN dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

Punca masalah negara

Katanya idea itu dicetuskan oleh bekas menteri besar Kedah yang juga anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang kini dilantik sebagai naib presiden BERSATU.

Selain mengalahkan BN kata Kit Siang DAP mahu melihat perubahan berlaku pada sistem dan bukan sekadar menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.

“Saya menyokong gagasan besar pembangkang bagi memastikan tiada Najib kedua (di negara ini),” katanya disambut sorakan orang ramai.

Bapa kepada Lim Guan Eng itu juga berkata rakyat sudah berputus harap apabila Pakatan Rakyat – yang dibentuk oleh DAP, PKR dan PAS sebelum ini – berkubur.

“Tetapi kami mahu mencipta harapan baru demi masa depan Malaysia,” katanya.

Pada Khamis lalu Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyoal bekas pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berhubung kerjasamanya dengan Dr Mahathir dalam Deklarasi Rakyat.

Guan Eng bertanya bagaimana Ambiga dapat bekerjasama dengan Dr Mahathir memandangkan ahli politik itu adalah punca pelbagai masalah negara.

Ambiga kemudian menjawab, bapa Guan Eng sendiri mampu bersama-sama Dr Mahathir.

Pada pertemuan di sebuah persidangan di Kuala Lumpur Ambiga ‘mengasak’ Guan Eng kerana gagal melaksanakan pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan di Pulau Pinang dan terus dengan amalan melantik ahli majlis seperti dilakukan kerajaan sebelum ini.

Memberitahu baru pulang dari Indonesia Kit Siang berkata beliau dimaklumkan ada ‘perbalahan besar’ antara Guan Eng dan Ambiga.

“Saya bertanya kepada Ambiga dan diberitahu ia sekadar perselisihan faham mesra antara beliau dengan Guan Eng,” katanya. – M’kini