KIT SIANG DISINDIR DI TWITTER

KUALA LUMPUR  – Seperti kata pepatah Me­layu, ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang najis.
Itu perumpamaan tepat menggambarkan sikap Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang membangkitkan kewajaran untuk Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercuti berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anak seorang exco kerajaan negeri itu.

Sedangkan anaknya sendiri, Lim Guan Eng bukan sahaja enggan bercuti ketika disiasat SPRM berikutan kontroversi pembelian banglo mewah di bawah harga pasaran malah terus berdegil tidak melepaskan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang walaupun telah didakwa atas kesalahan ra­suah.
Berikutan itu, laman Twitter Kit Siang dibanjiri komen-komen sindiran daripada pengguna laman sosial yang mengingatkan pemim­pin veteran DAP itu kepada situasi yang berlaku kepada anaknya yang tidak pun peduli kepada desakan pelbagai pihak supaya melepaskan jawatan berikutan pertuduhan yang dihadapinya.

Antara yang turut memberi komen di Twitter dalam isu ini, Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang.

“Bagaimana dengan anak kamu (Kit Siang)? Mengapa beliau (Guan Eng) tidak bercuti walaupun berhadapan perbicaraan kes rasuah di mahkamah? Kenapa?” katanya.

Selain itu, Keng Liang turut memuat naik status berkenaan sikap hipokrit DAP apabila melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN).

“Sekiranya pemimpin BN disiasat berkaitan isu rasuah, beliau perlu bercuti. Tetapi jika pemimpin DAP didakwa di mahkamah kerana rasuah, beliau tidak perlu bercuti. Nampak perbezaannya,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, pengguna akaun Nurrie78, Faris Adli Jamian, Siew Min dan beberapa lagi turut melontarkan balik soalan bila Guan Eng akan bercuti.

“Bila anak awak akan ambil cuti. Tak payah nak menyibuk hal org lain lah,” kata pemilik akaun Nurrie78 di Twitter Kit Siang.

Sejak Sabtu lalu, tujuh lelaki termasuk anak dan pegawai khas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd. Latiff Bandi ditahan kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan penyelewengan hartanah termasuk menukar status rumah bumiputera kepada bukan bumiputera.

Berikutan itu, Abd. Latiff yang difahamkan telah disoal siasat oleh SPRM berhubung kes ber­kenaan telah membuat permohonan cuti ketika bertemu Moha­med Khaled untuk satu tempoh tertentu.

Situasi itu berbeza dengan Guan Eng yang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah sejak tahun lalu berhubung kes pembelian banglo di bawah nilai pasaran di Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan itu bukan sahaja tidak bercuti, malah sehingga kini masih meneruskan tugas beliau seolah-olah tiada apa yang berlaku.

– UTUSAN

.