KISAH MICHAEL BERTEMU CINTA DAN AGAMANYA

Pada umur 29 tahun, Michael Ruppet telah merancang pengembaraan ke 60 negara di seluruh dunia. Yang tidak dirancangnya adalah bertemu cinta di Medan, Sumatera.

Cinta itu pula membawanya ke Kuala Lumpur dan Jakarta untuk mendalami agama Islam, sebelum berhijrah ke agama baru itu.

“Dalam kelas itu, saya masih tiada niat untuk tukar agama. Guru-guru saya hormati perkara itu dan terus mengajar lebih banyak perkara berkaitan agama Islam.

“Selepas beberapa minggu berbincang, membaca al-Quran dan belajar sembahyang, saya tahu Islam adalah agama yang sesuai dengan saya,” tulis lelaki Belanda itu di Instagram beliau minggu lalu.


Michael tidak mendedahkan tempat beliau mendalami ilmu agama itu tetapi hanya berkata “sebuah masjid kecil” di ibu kota Malaysia dan Indonesia.

Beliau juga berkata kebanyakan keluarga yang menerimanya bermalam di kedua-dua negara beragama Islam.

Dari percutian Ramadan

Kisah cinta Michael dan Adin Lubis itu menarik perhatian meluas, terutamanya di negara seberang apabila dia memilih seorang gadis Indonesia bertudung sebagai teman hidup.

Malah, setiap perkongsian gambar-gambar mesra mereka berdua sentiasa mendapat ribuan ‘like’ di Internet. Percintaan mereka juga mendapat liputan akhbar berpengaruh di Indonesia.

Banyak gambar swafoto mereka diambil bersama ketika mengembara – hobi yang diteruskan selepas berkahwin – bersama-sama selepas membina istana bahagia.

Michael mendedahkan, selepas enam bulan berkahwin, mereka telah melawat enam buah negara – atau purata satu negara satu bulan.

Sementara itu, menceritakan bagaimana berputiknya cinta mereka, Michael berkata ia bermula secara tidak sengaja apabila dia mendapat balasan melalui sebuah laman jaringan perkenalan dan pelancongan terkenal antarabangsa.

“Mengejutkan, dia undang saya menginap tiga hari bersama keluarganya di Medan semasa bulan Ramadan.

“Tetapi saya akhirnya tidak tinggal tiga hari, ia jadi tiga minggu. Itulah bagaimana ia bermula,” katanya.

Islam tolak perkauman

Michael juga melihat perkahwinan mereka itu lebih daripada sekadar lambang cinta, tetapi juga simbol bahawa Islam sebuah agama yang menolak perkauman.

“Dia dari Indonesia dan saya dari Belanda. Kami membesar dalam budaya berbeza tetapi adakah ini bermakna kami ada masalah budaya dalam perkahwinan?

“Tidak, sudah tentu tidak. Saya sayang dia sebab dia Adin dan dia sayang saya kerana saya Michael.

“Warganegara kami, warna kulit dan tempat kami dilahirkan tidak ada kena mengena dengan perkara itu,” katanya.

Bagaimanapun, lautan mana yang tidak bergelombang, bumi mana tidak ditimpa hujan, masih tetap ada yang menaruh prasangka pada perhubungan itu.

Malah ada yang mengaitkan percintaan itu dengan wang ringgit.

“Kadang-kadang ada orang Asia fikir saya kahwini dia kerana wangnya dan ada orang Eropah pula anggap dia kahwini saya juga kerana wang ringgit.

“Yang sebenarnya apabila kami kahwin, kedua-dua kami tiada duit. Kami bermula dari bawah dan setiap hari kami lakukan yang terbaik untuk berjaya. Alhamdulillah,” katanya lagi.

– M’kini

.