KIRIM MESEJ LUCAH? PU FAIZ MAHU SAMAN WANITA

KUALA LUMPUR – Naib juara programme Pencetus Ummah (PU) 2014 dituduh mengirim mesej lucah kepada penceramah wanita melalui aplikasi WhatsApp.

Tidak puas hati dengan dakwaan dalam aduan polis wanita itu, Ahmad Faiz Hafizuddin, lebih dikenali PU Faiz, ingin menyamannya, lapor Harian Metro.

Wanita berusia 29 tahun itu juga mendakwa PU Faiz mengirim mesej ugutan jenayah dalam laporannya di balai polis Pekan, Pahang pada 4 November lalu.

Mesej itu didakwa dikirim kepadanya daripada dua nombor ketika wanita berkenaan berada di rumahnya di Petaling Jaya pada 25 Oktober lalu.

Namun PU Faiz, 28, pula mendakwa beliau sudah lebih setahun tidak menghubungi wanita tersebut, bekas isteri seorang kenalannya.

Beliau mahu mengambil tindakan dengan alasan tindakan wanita itu membuat aduan polis “melampau dan menjatuhkan maruahnya” sebagai pendakwah.

“Segala tuduhan yang dikatakan adalah fitnah semata-mata kerana perkara yang berlaku adalah sebaliknya iaitu wanita berkenaan sering mengganggu saya,” katanya.

“Malah, dia sanggup membuka akaun Facebook palsu atas nama PU Faiz dengan memuat naik status dan gambar saya serta keluarga sekaligus mengundang pelbagai persepsi negatif daripada orang ramai.”

– Malay mail

.