KINI MULA BEREBUT KERUSI?

SHAH ALAM – Tidak sampai seminggu pakatan pembangkang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) melibatkan DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), riak-riak akan wujud masalah dalam pembahagian kerusi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mula kelihatan.
Ia berikutan kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei yang membayangkan PPBM dan PAN berkemungkinan tidak akan dibenarkan bertanding di negeri itu dan Pulau Pinang.

Sebaliknya kata Shuhaimi, kedua-dua parti tersebut (PPBM, PAN) perlu memberi tumpuan di negeri-ne­geri lain yang dikuasai oleh Barisan Nasional (BN).

“Keadilan (PKR) Selangor bersetuju strategi satu lawan satu melawan BN dapat dicapai de­ngan menyeru PPBM memberikan lebih fokus serta tumpuan di kawasan selatan Semenanjung atau negeri-negeri lain yang belum dikuasai pakatan (pembangkang).

“Bagaimanapun, kita akur de­ngan sebarang arahan pimpinan (PKR) Pusat. Pembahagian kerusi hanya ditentukan di peringkat Pusat dan Keadilan Selangor akan memberikan cadangan berse­suaian secara tertutup,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp di sini.

Selasa lalu, pakatan pembangkang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang antara lain bersetuju untuk menggunakan satu logo serta manifesto yang sama dalam PRU-14.

Memorandum ditandatangani oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PAN, Mohamad Sabu: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu di PULAU PINANG, Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak mempersoalkan MoU tersebut tersebut kerana tidak mempunyai hala tuju jelas selain setiap parti pembangkang gagal menunjukkan kesediaan untuk berkompromi dalam soal pembahagian kerusi.

“Adakah parti seperti DAP dan PKR mahu menyerahkan kerusi tradisi mereka kepada PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menentang BN seperti ditetapkan kerjasama itu? Sebab itu, impian untuk mewujudkan pertandingan dua penjuru hanya retorik pembangkang semata-mata kerana dalam beberapa pilihan raya sebelum ini pun mereka tetap bertanding sesama sendiri kerana tiada persefahaman,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rahmad yang juga bekas ahli DAP berkata, pergeseran antara pembangkang pasti akan berlaku di Pulau Pinang memandangkan DAP dan PKR perlu menyerahkan lebih banyak kerusi mereka kepada PAN dan PPBM.

“Persoalannya adakah DAP yang kini mempunyai 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tujuh kerusi Parlimen mahu dengan mudah melepaskan sebahagian kerusi berkenaan? Atau adakah PKR sanggup menggadaikan sebahagian daripada 16 kerusi DUN yang ditandingi mereka sebelum ini kepada PAN dan PPBM?” soal beliau.

– UTUSAN

.