KHALID, WAN AZIZAH DI MATA SULTAN SELANGOR

Krisis menteri besar Selangor yang berlaku pada 2104 barangkali boleh dianggap sebagai kemuncak intrig politik di negeri yang dikatakan paling maju di Malaysia itu.

Dikenali sebagai ‘Langkah Kajang’, PKR dikatakan tidak lagi berkenan dengan menteri besar ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim. Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara buat kali kedua, kedudukan itu mahu diberikan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Namun akhirnya, selepas beberapa bulan, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang muncul sebagai ‘pemenang’.

Mengimbas kembali isu itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan kemelut itu sebagai yang paling mencabar sepanjang baginda memerintah negeri.

“Beta tak boleh percaya apa yang berlaku, terutama kepada Khalid. Beliau begitu setia dan tiba-tiba beliau disingkirkan.

“Mungkin ada agenda tersembunyi, mungkin beta bukan seorang ahli politik dan ia adalah hal (politik) yang beta tidak fahami,” katanya dalam wawancara bersama The Star yang disiarkan hari ini.

Sultan Selangor ketika itu menolak pencalonan Wan Azizah, walaupun PKR hanya menghantar namanya sahaja sebagai calon menteri besar.

Ia bertentangan dengan amalan sebelumnya, apabila pentadbiran sebelumnya sentiasa diminta untuk menghantar beberapa nama sebagai calon, titah baginda lagi.

“Ketika beta meminta beberapa nama, mereka menghantar satu nama. Ini bermakna mereka mahu beta mengikut kata mereka (twisting my arm). Adakah terlalu sukar sehingga mereka tidak boleh menghantar beberapa nama?” titah baginda.

Ketika itu, PAS yang masih bersama-sama dalam Pakatan Rakyat turut menolak Wan Azizah.

Cukuplah…

Sultan Sharafuddin bertitah, sebab utama penolakannya bukanlah kerana Wan Azizah seorang wanita, maka tidak layak mentadbir negeri.

“Beta sudah nyatakan sebelum ini, menteri besar tidak boleh dikawal, dia tidak boleh menjadi boneka.

“Anda perlu ada karakter yang kuat untuk berkhidmat kepada rakyat,” titah baginda lagi.

Memandang ke hadapan, baginda bertitah agar tiada lagi kemelut politik yang melanda Selangor.

“Beta amat berpengalaman sekarang dalam intrig politik ini. Tetapi cukuplah, beta tidak mahu lagi melihatnya,” titah baginda lagi.

– https://www.malaysiakini.com

.