Khalid Samad: Masih awal bincang Kabinet bayangan

SHAH ALAM – Calon perdana menteri dan kabinet bayangan tidak semestinya diputuskan sebelum PRU14 memandangkan belum diketahui siapa yang akan memenanginya.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, pemilihan perdana menteri adalah berdasarkan kehendak perlembagaan iaitu ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Setelah perdana menteri dipilih, individu yang memegang jawatan tersebut akan melantik Kabinetnya melalui rundingan bersama parti-parti yang menyokongnya. Ia hanya dapat diketahui secara tepat selepas PRU berkenaan.

“Oleh itu calon perdana menteri dan barisan Kabinetnya tidak semestinya diputuskan terlebih dahulu kerana siapa yang akan menang semasa PRU14 pun tak tentu lagi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Baru-baru ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya pembangkang tampil dengan calon perdana menteri dan kabinet bayangan sebelum PRU14 untuk mendapatkan keyakinan rakyat untuk mengundi.

Bagaimanapun, Khalid berkata, Pakatan Harapan telah bersetuju bahawa bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon perdana menteri yang dipilih sekiranya pembangkang menang dalam PRU14.

“Ini bererti sesiapa pun yang memegang jawatan tersebut selepas sahaja PRU14, ia hanya sementara sehingga Anwar dibebaskan dari hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya.

“Tetapi ini semua akan ditangani melalui mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang disertai Bersatu dan Pas sekiranya bersetuju untuk bersama dari semasa ke semasa,” katanya.

SINAR HARIAN

.