KHALID SAMAD KECEWA ADA USAHA LAGAKAN BELIAU DENGAN AZMIN

AHLI Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, cakap-cakap yang Menteri Besar Selangor Mohamd Azmin Ali akan bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam hanya khabar angin daripada pihak yang ingin melaga-lagakan beliau dengan timbalan presiden PKR itu.

Katanya, individu berkenaan juga tidak memahami yang gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) bersetuju agar penyandang mempertahankan kerusi masing-masing dalam pilihan raya akan datang.

“Tindakan ini bertujuan untuk melagakan kami berdua, sedangkan hubungan kami selama ini begitu baik,”  kata Khalid kepada The Malaysian Insight.

Bagi Khalid, khabar angin ini disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang turut berhasrat untuk melaga-lagakan parti komponen PH.

“Pihak yang menyebarkan khabar ini juga tidak memahami prinsip perundingan kerusi yang berpaksikan kepada beberapa prinsip termasuk menghormati penyandang. Ia tidak akan diambil dan dituntut oleh pihak lain.

“Shah Alam, saya adalah penyandang maka berdasarkan prinsip itu, dalam perundingan kerusi ini tidak ada mana-mana pihak lain yang menuntutnya,” kata pengarah Komunikasi Amanah itu.

Beliau mengulas laporan The Malaysian Insight semalam yang menyebut Azmin akan bertanding di kerusi yang diwakilinya sejak dua penggal itu.

Sumber mendakwa, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin juga dijangka akan bertanding di kerusi Parlimen Hulu Langat, yang kini diwakili Dr Che Rosli Che Mat daripada PAS.

Menurut sumber berkenaan, nama Azmin dan Zuraida sertai dua kerusi Parlimen tersebut dikemukakan pada mesyuarat jawatankuasa pilihan raya PH Selangor semalam.

Sebaliknya, kata Khalid, perundingan kerusi PH juga sudah mencapai kata putus yang kerusi Hulu Langat juga akan ditandingi oleh Amanah.

“Oleh itu tidak berbangkit YB Zuraida mahu bertanding di situ sedangkan beliau juga selamat di Ampang,” kata Khalid lagi.

Majlis Presiden PH akan bermesyuarat petang ini dan isu pembahagian kerusi serta cadangan calon perdana menteri PH akan diputuskan menjelang konvensyennya 7 Januari nanti.

Khalid menegaskan, beliau akan kekal bertanding di kerusi Shah Alam dan kerusi Hulu Langat juga tidak akan ditandingi PKR.

Mengulas lanjut, Khalid berkata berita angin ini juga bertujuan merosakkan imej menteri besar Selangor itu.

“Sebagai timbalan presiden PKR, sudah pasti beliau akan menghormatinya. Lagipun saya yakin beliau cukup mantap di Gombak.

“Hubungan baik beliau dengan PAS juga akan memastikan ramai ahli PAS di Gombak akan mengundi beliau dalam pilihan raya nanti.

“Itulah antara resepi yang telah diguna pakai olehnya selama ini. Oleh itu, tidak ada sebab beliau perlu berpindah kerusi,” kata Khalid lagi.

– https://www.themalaysianinsight.com

.