KHALID IBRAHIM AKAN BANTU PAS RAMPAS SELANGOR

BEKAS Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat daripada PKR pada 2014 akan membantu PAS merampas kerajaan Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) itu berkata, Khalid sendiri menunjukkan kesungguhannya semasa berceramah di Batang Kali, Hulu Selangor pada 27 Januari lalu.

“Khalid diakui sebagai faktor utama yang melonjakkan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU13 yang lalu.

“Selain daripada itu, beliau juga masih mempunyai sokongan dari kalangan ahli-ahli PKR termasuk juga DAP,” kata Zuhdi dalam satu kenyataan yang disiarkan portal Harakahdaily hari ini.

Zuhdi berkata selain itu, Khalid juga dihormati kakitangan-kakitangan awam yang berkhidmat di Selangor kerana “integriti dan efisiensi” beliau.

Kedudukan semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor adalah DAP 14 kerusi, PAS (13), PKR (13),  Amanah (2), Bebas (2) dan Barisan Nasional (BN)12 kerusi.

Walaupun sudah memutuskan hubungan dengan DAP dan PKR, PAS masih lagi mahu bersama kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

PAS juga tidak menyertai Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai Bersatu, PKR, DAP dan Amanah. Sebaliknya menubuhkan Gagasan Sejahtera bersama Ikatan.

Semalam Sinar Harian melaporkan yang PAS Selangor sedia menawarkan kerusi kepada Khalid yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, fasa memujuk Khalid berterusan tetapi menghormati pendirian beliau yang memilih bergerak bebas tanpa menyertai mana-mana parti.

Roslan berkata, kehadiran Khalid adalah satu penghargaan buat PAS seterusnya membuktikan parti Islam itu diyakini beliau untuk meneruskan perjuangan yang terbantut selepas dipecat sebagai menteri besar Selangor.

Zuhdi berkata hari ini, selain sokongan masih kuat dalam kalangan penyokong parti pembangkang, Khalid juga begitu dihormati oleh Umno.

“Sehingga beliau turut dijemput oleh Umno Selangor dalam konvensyen mereka baru-baru ini.

“Dengan sokongan dari pelbagai pihak, beliau diyakini boleh menarik sokongan majoriti rakyat Selangor ke arah pembentukan sebuah kerajaan baru,” katanya.

Dua bulan lepas, Khalid yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak membuat kejutan apabila muncul di konvensyen Umno Selangor yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kehadiran Khalid itu disambut Timbalan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu Khalid juga dijemput untuk bersama pemimpin-pemimpin Umno Selangor di pentas seperti Noh Omar dan Jamal Mohamed Yunos.

– https://www.themalaysianinsight.com

.