KHALID BAKAR TERSILAP SALAHKAN BERSATU PUNCA HURU-HARA FORUM, KATA PEGUAM

KETUA Polis Negara sudah tersilap memetik Akta Perhimpunan Aman 2012 apabila menyalahkan Bersatu sebagai tidak bertanggungjawab kerana gagal mengawal keselamatan sehingga tercetus keadan huru-hara semasa penganjuran forum Nothing to Hide 2.0 pada Ahad lalu, kata seorang peguam.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata akta itu tidak harus digunakan terhadap penganjur rapat acara kerana orang yang membuat kekacauan semasa forum itu adalah penjenayah.

“Akta Perhimpunan Aman tidak terpakai dalam kes ini kerana ia untuk rapat umum dan pihak berkuasa boleh mengenakan syarat, sedangkan yang ini forum. Sesiapa boleh datang untuk bercakap, bertanya soalan dan menjawab. Apa yang berlaku adalah di luar jangkaan dan di luar kawalan penganjur.

“Dalam insiden Nothing to Hide, itu perlakuan jenayah dan menjadi tanggungjawab polis untuk menangkap, menyiasat dan mendakwa mereka di mereka sekiranya ada bukti.

“Kita bukan bercakap tentang benda tidak sengaja. Kita bercakap tentang satu perbuatan jenayah yang dilakukan dengan niat untuk buat huru-hara, seperti samseng,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Paulsen mereka yang terlibat tidak harus dibiarkan untuk menentukan batas-batas kebebasan bersuara dan berhimpun. Beliau juga bimbang pihak berkuasa akan menggunakan alasan keselamatan dan tanggungjawab penganjur sebagai syarat untuk mengajurkan perhimpunan seperti ini.

“Sudah tentu penganjur mesti bertanggungjawab juga tetapi untuk melepaskan beban tanggungjawab itu sepenuhnya kepada penganjur, salah. Misalnya, kalau pentas runtuh kerana ramai orang, itu memang salah penganjur,” katanya.

Beliau juga menarik perhatian kepada Seksyen 3(3) Akta Polis yang mengkehendaki polis mengekalkan keamanan dan keselamatan Malaysia.

Khalid hari ini menyalahkan Bersatu selaku penganjur dengan mengatakan forum seumpama itu tertakluk di bawah Akta Perhimpunan Aman dan akta itu jelas memperuntukkan penganjur bertanggungjawab ke atas keselamatan mereka yang hadir, keselamatan tempat, keselamatan acara berkenaan.

Beliau juga menyatakan polis hanya membuat kawalan di luar dewan kerana “tidak dijemput” ke forum tersebut.

Forum itu sepatutnya jadi pentas debat antara Dr Mahathir Mohamad, yang kini mengetuai Pakatan Harapan (PH), dan Perdana Menteri Najib Razak, mengenai isu 1Malaysia Development Berhad  (1MDB). Najib bagaimanapun tidak hadir kerana merasmikan mesyuarat Umno bahagian di Melaka.

Dr Mahathir sempat menjawab lapan soalan pada forum “Nothing to Hide 2.0” sebelum majlis bertukar kecoh apabila ada hadirin bertindak membaling selipar, botol air dan mencampak suar, ketika beliau menjawab soalan mengenai peristiwa Memali.

Sejak Ahad, pemimpin PH dan Umno saling menyalahkan antara satu sama lainsebagai punca kekecohan yang tercetus.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Kamaruddin Mohd Nor berkata syarat kelulusan polis untuk perhimpunan awam seharusnya dimansuhkan jika penganjur akan dipersalahkan kalau berlaku perkara yang tidak diingini.

“Untuk apa kita perlu minta kebenaran? Kenapa mereka datang dan kata ini boleh, ini tidak boleh?

“Kalau mereka salahkan penganjur 100%, okay, kita tidak perlu minta kebenaran polis selepas ini,” kata Kamaruddin kepada The Malaysian Insight.

Kekecohan tercetus selepas suar dibakar dan kerusi serta kasut dibaling sehingga memaksa forum itu dihentikan serta merta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2017.
Kekecohan tercetus selepas suar dibakar dan kerusi serta kasut dibaling sehingga memaksa forum itu dihentikan serta merta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2017.

Menurut Kamaruddin, polis yang berada di tempat kejadian hanya berdiri tegak dan tidak berbuat apa-apa untuk mengawal keadaan apabila kekecohan timbul.

“Bukankah kerja polis untuk pastikan sekiranya ada tanda-tanda kekacauan dan keganasa, mereka sepatutnya menangani keadaan?

“Kami tidak kata polis (sahaja) bertanggungjawab tetapi saya tidak fikir wajar untuk polis lepas tangan dan kata mereka tidak terlibat,” katanya.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata Khalid sepatutnya memberi tumpuan kepada siasatan terhadap pengacau dan bukannya menyalahkan penganjur.

Bersih ada banyak pengalaman menganjurkan rapat umum dan berurusan dengan polis, dan kata Maria, walaupun ia bertanggungjawab atas acaranya sendiri, polis juga ada peranannya dan tidak sepatutnya berdiam diri sekiranya ada kekacauan.

“Kalau penganjur ada pasukan kawalan keselamatannya sendiri, maknanya mereka sudah melakukan yang sewajarnya, dan polis harus akur bahawa ia ada tugas menjaga keamanan.

“Apabila Bersih anjurkan perhimpunan, kami bertanggungjawab untuk pastikan keadaan berjalan lancar tetapi kami orang awam dan ada batas-batas tertentu apa yang mampu kami lakukan.

“Tidak ada orang yang waras yang akan membawa suar ke majlis seperti ini. Penganjur tidak bawa suar. Kita sudah ada banyak forum. Pernahkah kita lihat perangai samseng macam ini? Kenapa penganjur hendak buat begitu?

“Apabila mereka nampak selipar pertama dilempar, polis yang ada di situ sepatutnya menghentikannya dan menahan keadaan daripada jadi lebih buruk,” kata Maria.

Polis sehingga awal Rabu menahan 13 orang untuk siasatan, termasuk remaja berumur semuda 17 tahun. Mereka disiasat kerana merusuh dan menggunakan senjata berbahaya. Siasatan awal mendapati mereka yang terlibat dibayar RM50untuk memulakan kekacauan pada forum itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.