KHALED AKAN JAWAB TUDUHAN RASUAH PADA ISNIN

MENTERI Besar Johor Mohamed Khaled Nordin akan menjawab dakwaan rasuah terhadapnya pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin depan.

“Isu lain hari Isnin saya akan jawab. InsyaAllah.

“Sebab benda itu dibangkitkan dalam dewan dan sebenarnya ada bicara, tak boleh cakap di luar,” katanya kepada wartawan di luar sidang DUN Johor di Kota Iskandar hari ini.

“Tak apalah, kita tunggu hari Isnin. Saya tidak akan lari, saya ada di sini,” katanya lagi.

Wakil rakyat DAP Wong Shu Qi dalam persidangan DUN Johor pada Isnin, menyoal sama ada benar atau tidak Khaled ada menerima wang RM12 juta untuk mengubah status lot perumahan Bumiputera kepada status bukan Bumiputera.

Wong berkata, beliau mendapat maklumat itu daripada sebuah laman web yang memuat naik dokumen kenyataan saksi dalam siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dokumen sepanjang 140 muka surat itu turut mengandungi jadual transaksi mendakwa wang diberikan kepada Khaled.

SPRM pada Selasa berkata ia akan membuat satu laporan polis kerana kebocoran maklumat kes yang sedang dibicarakan itu.

“Ingin ditegaskan, pembocoran kenyataan sedemikian adalah satu perbuatan menghina mahkamah dan bersifat prejudis kerana kes tersebut masih dalam perbicaraan mahkamah,” Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki berkata dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Azam turut berkata jadual pembayaran tersebut sengaja diada-adakan bertujuan mengelirukan masyarakat.

Salah seorang tertuduh, Amir Shariffuddin Abd Raub juga sudah membuat laporan polis berkaitan kebocoran dokumen siasatan itu di Balai Polis Sentral Johor Bahru petang semalam, mendakwa ia berbeza dengan keterangan yang diberikannya kepada SPRM. 

“Terdapat beberapa halaman tiada disertakan, malah terdapat satu jadual pembayaran yang dimuatkan yang tiada kena mengena langsung dengan siasatan yang dijalankan ke atas saya.

“Muka depan Penyataan Dalam Pemeriksaan itu berbeza dengan yang dibuat oleh saya. Saya dapati pemilik blog dan Facebook itu sengaja cuba menjatuhkan maruah saya,” Amir berkata dalam laporannya yang turut dilihat The Malaysian Insight.

Skandal hartanah yang meletus pada Mac lepas turut melibatkan seorang bekas exco kerajaan negeri Johor Abd Latif Bandi.

Amir, Abd Latif dan seorang lagi tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 14 Jun lepas berdepan 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001 membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta.

Terdahulu, Amir dan Abd Latif berdepan 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta pada 19 April.

– https://www.themalaysianinsight.com

.