KHAIRY: SIKAP, MENTALITI RAKYAT JADI CABARAN UTAMA TN50

KUALA LUMPUR – Sikap dan mentaliti dalam kalangan rakyat merupakan cabaran utama ke arah mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, perkara tersebut tidak dapat diubah dalam masa sekelip mata kerana ia tertakluk kepada individu itu sendiri.

“Yang paling saya khuatir tentang TN50… bukan cabaran kuantitatif (seperti) pendidikan dan lain-lain kerana ini adalah perkara yang kita boleh labur hari ini.

“Kebimbangan utama saya ialah sama ada kita boleh mengubah sikap dan tingkah laku, ini adalah cabaran terbesar yang kita hadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Persidangan Kepimpinan dan Aspirasi Nasional (NALS 2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Lebih 2,000 peserta daripada kalangan pelajar dalam dan luar negara menghadiri acara tahunan yang memasuki edisi kelima itu.

TN50 yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.

Katanya persoalan mengenai kejayaan TN50 hanya akan terjawab sekiranya sikap dan mentaliti negatif dihakis dan diganti dengan mentaliti kelas pertama bagi memacu negara mencapai status negara maju.

“Jadi sama ada kita boleh menyediakan prasarana kelas dunia dan mentaliti kelas pertama, itulah persoalan utama bagi TN50,” katanya.

Mengenai NALS 2017, Khairy menyifatkan persidangan itu sebagai suatu platform interaksi dua hala terbaik bagi memberi penjelasan mengenai agenda kerajaan.

Beliau yang mengalu-alukan pandangan dan cadangan generasi muda itu mahu semua pihak agar tidak memperlekehkan kapasiti generasi aset negara itu dalam memberi input kepada kerajaan.

– Bernama

.