KHAIRY SETUJU DICALONKAN

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) antara ahli gabungan yang mencalonkan Khairy Jamaluddin sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberitahu, Menteri Belia dan Sukan itu tahu beliau akan dicalonkan dan tidak menolak pencalonan tersebut.
Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan berkata, badan bola sepak itu telah memaklumkan terlebih dulu mengenai cadangan berkenaan kepada Khairy dan hanya meneruskan hasrat mereka selepas mendapat persetujuan.

Adnan bagaimanapun berkata, keputusan sama ada Khairy sedia bertanding atau tidak pada 25 Mac ini hanya akan diketahui pada 20 Februari depan, iaitu tarikh akhir untuk setiap individu yang tercalon mengesahkan pendirian mereka dalam pemilihan penggal 2017-2021.

 
“Ini (mencalonkan Khairy) adalah keputusan yang telah dibuat oleh KLFA. Saya percaya, beliau mampu membawa perubahan lebih baik dalam bola sepak di negara ini.

“Ya kami sudah memaklumkan kepadanya sebelum meneruskan cadangan. Daripada reaksi yang diberikan (oleh Khairy), beliau menerimanya.

“Kami selaku ahli gabungan ingin perubahan dan kerana itu kami calonkan Khairy sebagai Presiden FAM. Beliau mempunyai minat yang mendalam, selain memiliki pengetahuan yang tinggi,” kata Adnan kepada Utusan Malaysia.

Selain Khairy, 41, FAM hari ini mengesahkan tiga lagi tokoh bola sepak turut dicalonkan untuk menerajui badan induk tersebut iaitu pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM Tan Sri Aseh Che Mat.

Berdasarkan perlembagaan FAM, kedudukan Khairy sebagai Menteri Belia dan Sukan tidak menghalangnya daripada menerajui badan bola sepak tersebut, bagaimanapun beliau sebelum ini memaklumkan peluangnya untuk bertanding bergantung kepada kebenaran daripada kabinet.

Pada 15 Januari lalu Khairy memberitahu, jika seseorang menteri berhasrat memegang jawatan dalam persatuan sukan, mereka perlu mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri atau Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Abdul Razak Hussein serta bekas Menteri Pertahanan, Tan Sri Hamzah Abu Samah sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Presiden FAM.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan reaksi Khairy mengenai pencalonannya gagal kerana Menteri Belia dan Sukan itu kini berada di Lebanon atas urusan rasmi.

– UTUSAN

.