Ketua Pergerakan Pemuda UM­NO, Khairy Jamaluddin berkata, selagi tiada kepastian mengenai kesahihan sumber kewangan sya­rikat berkenaan, selagi itu rakyat terutamanya Kumpulan Baju Merah yang diketuai oleh Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mahukan kebenaran.

Katanya, dakwaan mengatakan beberapa organisasi tempatan antaranya Malaysiakini dan Bersih dibiayai oleh Open Socie­ty Foundation (OSF) diasaskan oleh hartawan Amerika Syarikat, George Soros adalah tuduhan berat yang harus disiasat secepat mungkin.

“Soal utama sekarang adalah mengenai pembiayaan dana a­sing yang diterima oleh Malaysiakini dan Bersih yang boleh menggugat kestabilan dan keselamatan negara.

“Oleh itu, mungkin pihak Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia boleh menyegerakan siasatan yang dilakukan dan mengesahkan bahawa organisasi berkenaan dibiayai oleh OSF supaya perkara ini dapat diselesaikan,” katanya dalam sidang akhbar kursus pemukiman penceramah anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia bertemakan Sepetang Bersama Jaguh Debat: Tips Mematahkan Hujah Lawan di sini hari ini.

Yang turut hadir Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Lokman Noor Adam dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar.

Lebih 200 peserta dari seluruh negara menyertai program yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam itu.

Antara objektif utama program berkenaan ialah memastikan sekurang-kurangnya 150 pence­ramah berwibawa dapat dilahirkan bagi mengisi slot ceramah kelompok, ceramah umum atau debat, seterusnya memantapkan sistem penyampaian maklumat kerajaan.

Dalam pada itu, Khairy berkata, jentera penerangan kerajaan perlu berani menerima lebih ba­nyak undangan berdebat kerana boleh menarik sokongan rakyat ke atas kepemimpinan kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, meskipun debat bukanlah budaya dan tradisi negara, namun perkara berkenaan semakin menjadi se­suatu yang dinanti-nantikan ma­syarakat.

“Politik zaman sekarang yang diselitkan debat boleh diibaratkan sama seperti sukan, mempunyai tarikan besar kepada rakyat di mana mereka (masyarakat) mahu melihat pertandingan antara kedua-dua belah pihak, iaitu kerajaan dan pembangkang.

“Walaupun debat bukanlah segala-galanya terutama dalam menentukan kemenangan dalam pilihan raya, namun dalam konteks debat, pengundi boleh menilai keupayaan, kredibiliti dan ilmu seorang pemimpin,” kata­nya.

MKINI

.