KHAIRY KECAM PM SINGAPURA PERLEKEH TUNTUTAN BATU PUTEH

Pemuda Umno mengutuk keras kenyataan Perdana Menteri Singapura yang disifatkan memperlekeh permohonan Malaysia untuk membuat semakan berhubung keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyerahkan Pulau Batu Puteh kepada republik itu.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata tuduhan Lee Hsien Loong bahawa niat sebenar tuntutan itu disebabkan pilihan raya umum makin hampir merupakan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh merosakkan hubungan kedua-dua negara.

“Memang mudah untuk meraih sokongan politik dengan membuat tuduhan kepada negara lain seperti yang dibuat perdana menteri Hsien Loong dengan kenyataan beliau ini yang dibuat semasa konvensyen PAP.
“Namun tidak seperti beliau, Malaysia memandang serius isu kedaulatan sepanjang masa dan bukan semata-mata untuk meraih sokongan semasa pilihan raya atau konvensyen politik sahaja,” ujar Khairy.

Semalam, Lee dalam ucapannya di kongres PAP mempertikai tindakan Putrajaya mencabar keputusan ICJ pada 2008 yang memberikan Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca kepada Singapura.

“Tetapi hampir sedekad kemudian, Malaysia ke ICJ lagi memohon mahkamah menyemak semula keputusan itu.

“Saya tidak pasti apa motif Malaysia, tetapi pilihan raya umum mereka sedang hampir, dan mungkin ia ada kaitan,” katanya.

Khairy berkata sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia telah memfailkan permohonan berkenaan pada 2 Februari 2017 berdasarkan penemuan fakta baru melalui tiga dokumen dalam Arkib Negara United Kingdom pada 2016.

“Keputusan membuat permohonan ini dalam masa enam bulan selepas penemuan fakta baru adalah hak yang diberikan dan dipatuhi kerajaan Malaysia,” tegasnya.

“Sebagai peringatan Parlimen Malaysia masih belum dibubarkan sehingga hari ini, lebih setahun dari tarikh penemuan fakta baru tersebut,” tegasnya.

Pada 2 Februari 2017, Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan penghakiman ICJ mengenai Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge selepas penemuan 3 dokumen oleh Malaysia dalam simpanan arkib di Britain bagi menyokong tuntutannya.

– M’kini

.