‘KHAIRY FITNAH SAYA HOMOSEKSUAL’ – ANWAR

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkataan yang disebut dalam ucapan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara jelas dan tersirat menuduh beliau sebagai homoseksual.

Anwar berkata, ucapan Ahli Parlimen Rembau itu merupakan kenyataan fitnah yang menjurus kepada peribadi dan perilaku beliau secara negatif dan menghina.

“Kenyataan diucapkan defendan (Khairy) tersebut bermaksud untuk menggambarkan saya sebagai manusia berselingkuh, rendah akhlak dan cenderung melakukan jenayah dan maksiat.

“Singgungan secara licik adalah untuk menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat awam bahawa saya bersalah menurut Seksyen 377 Kanun Jenayah,” katanya.

Anwar, 69, selaku plaintif berkata, kenyataan Khairy juga bermaksud mengaitkan kesalahan jenayah menurut kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

“Jelas bahawa kenyataan yang dihamburkan beliau melukis saya sebagai seorang yang tidak layak menyandang sebarang jawatan politik kerana dianggap merbahaya kepada masyarakat,” katanya.

Tambahnya, fitnah tersebut bermaksud untuk menjatuhkan maruahnya dan menjejaskan imej selain turut mengecam Pas dan DAP.

Anwar menyatakan demikian melalui kenyataan saksi dalam kes samannya terhadap Khairy kerana mendakwa Khairy, yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada20 Februari, 2008.

Selain itu Anwar berkata, ucapan yang dibuat Khairy merupakan kempen politik dengan nada angkuh dan isi kandungan ucapan tersebut penuh fitnah dan berunsur lucah.

“Defendan dengan sengaja mencerca saya di Lembah Pantai kerana anak saya, Nurul Izzah diumumkan sebagai calon Parlimen PKR ketika itu. Kenyataan kesat itu menambah duka keluarga.

“Dengan kuasa, dana dan liputan media selain ramai khalayak yang hadir sudah pasti ia mencemarkan peribadi dan keluarga. Saya berharap dengan tuntutan itu keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

Anwar diwakili peguam peguam R Sivarasa, manakala Khairy diwakili peguam Sarah Abishegam di hadapan hakim Azizul Azmi Adnan.

Sementara itu, Sarah memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam utama defendan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan mengemukakan permohonan untuk memanggil semula Khairy memberi keterangan kerana terdapat penemuan baharu dalam kenyataan saksi Anwar.

Perbicaraan disambung esok.

Melalui saman yang difailkan pada 7 Mac 2008, Anwar mendakwa perkataan fitnah dan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di laman web, termasuk dalam portal Malaysiakini.com. Khairy, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 8 Okt, 2010, berkata beliau bergantung kepada pembelaan berdasarkan justifikasi dan perlindungan bersyarat.

– Sinar Harian

.