KHAIRUDDIN DAKWA PM, TPM LANGGAR SUMPAH JAWATAN

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan pecah amanah.

Bekas pemimpin bahagian Umno itu menuduh mereka mengelirukan orang ramai mengenai sumber dana AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang berada dalam akaun bank peribadi Najib.

Justeru, kata Khairuddin, kedua-dua mereka melanggar sumpah jawatan.

Beliau memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib dan Ahmad Zahid mencabuli sumpah jawatan  di bawah Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu tidak layak untuk memegang jawatan masing-masing atau mana-mana kedudukan dalam kabinet.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khairuddin mendakwa bahawa sebelum memegang jawatan PM dan TPM, Najib dan Ahmad Zahid telah mengambil sumpah mereka di bawah Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, dana RM2.6 bilion berkenaan disebut sebagai derma atau sumbangan daripada seorang putera Arab Saudi dan ini disahkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Walau bagaimanapun, seteru politik Najib tidak menerima jawapan itu dan mengaitkannya dengan 1MDB.

– M’kini

.