KETUA PEMUDA MCA MOHON MAAF KERANA JENAKA ‘TOKONG’

Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon meminta maaf atas kenyataannya hari ini mengenai Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan banjir yang melanda negeri itu.

“Kerana penduduk Pulau Pinang terluka dengan kata-kata saya, saya memohon maaf.

“Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM), MCA Pulau Pinang dan Youthcare Movement Malaysia akan membantu dengan bantuan banjir,” kata Chong pada catatan Facebook yang ditulis dalam bahasa Cina.

Ia ditandakan dengan hashtag yang diterjemahkan kepada “Tuhan berkati Pulau Pinang.”

Posting itu juga memaparkan petikan video ucapan Chong pada perhimpunan tahunan MCA di Kuala Lumpur awal hari ini.

Chong secara berjenaka berkata Lim gagal menangani masalah banjir di Pulau Pinang walaupun statusnya sebagai “tokong”.

“Kita nampak rakaman video Lim Guan Eng meminta bantuan daripada kerajaan pusat pada awal pagi. (Di sebalik) kerajaan macam tokong, dia tidaklah berkuasa seperti yang didakwanya untuk mengatasi masalah banjir.

“Jangan lawan tuhan walaupun kamu seorang yang suci,” katanya disambut gelak ketawa orang ramai.

Kenyataan Chong merujuk kepada nama panggilan “tokong” yang diberikan kepada Lim, yang pertama kali diperkenalkan oleh timbalan ketua menteri Pulau Pinang ketika itu, Datuk Mansor Othman pada tahun 2012.

Pada masa itu, Mansor mengadu mengenai sikap Lim yang sombong kerana status “tokongnya” dalam masyarakat Cina, tetapi kemudiannya merujuk gelaran itu sebagai satu pujian.

Pada awal pagi ini, Lim, yang memakai baju hujan berwarna kuning, berkata beliau telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada jam 3.30 pagi untuk meminta agar Angkatan Tentera Malaysia menghantar bantuan banjir.

Lim menyifatkan banjir itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang berkata hujan semalam, pada 315mm, merupakan rekod tertinggi dalam sejarah negeri ini.

Sekurang-kurangnya lima orang terkorban akibat banjir setakat ini dan empat daripadanya adalah warga emas.

– M’kini

.