KETUA HAKIM SYARIE LAPOR POLIS TERHADAP RAFIZI

Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Mahammad Ibrahim membuat laporan polis terhadap Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli kerana didakwa memfitnah dan menghina institusi kehakiman itu.

Mahamad yang mewakili 546 ahli Persatuan Pegawai Syariah Malaysia hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membuat laporan berkenaan pada kira-kira jam 9.30 pagi.

Turut membuat laporan yang sama adalah Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia, Ibrahim Ideris.

Mahamad berkata, laporan itu berhubung kenyataan Rafizi dalam “persidangan olok-olok” oleh anggota parlimen pembangkang pada 10 April lalu yang mendakwa rasuah membabitkan hakim mahkamah syariah lebih tinggi berbanding hakim mahkamah sivil.

“Kenyataan Rafizi jelas tidak berasas kerana berdasarkan rekod hanya tersapat satu kes mahkamah sahaja (membabitkan rasuah).

“Kenyataan Rafizi juga satu fitnah dan penghinaan kepada institusi kehakiman syariah serta hakim syarie sekali gus mengurangkan rasa percaya masyarakat kepada institusi kehakiman,” kata Mahamad.

Dalam ucapan semasa perbahasan olok-olok itu, Rafizi berkata, pindaan Akta 355 yang dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengabaikan gaji hakim mahkamah syariah kerana hanya menekankan keperluan meningkatkan had hukuman.

“Kalau dilihat kepada rekod hakim yang ditangkap dan ditahan kerana rasuah, kita boleh tengok sendiri, sebenarnya hakim mahkamah syariah lebih tinggi berbanding hakim mahkamah sivil.

“Mana taknya, gajinya rendah. Dan orang yang gaji rendah diberi kuasa besar sehingga boleh memenjara orang sampai 30 tahun, sudah tentu kuasa itu kalau tidak diselia dengan baik maka dia akan terbuka kepada satu salah guna,” kata Rafizi.
Mengulas lanjut, Mahamad berkata dakwaan Rafizi merendahkan martabat mahkamah syariah serta menjatuhkan maruah hakim, selain memaklumkan akan ada lebih banyak laporan polis menyusul.

Sehubungan itu, beliau menggesa polis menyiasat wakil rakyat pembangkang itu di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana jenayah fitnah.

– M’kini

.