KETUA HAKIM, SAMY VELLU DAPAT GELARAN TUN

Tiga tokoh tersohor penerima anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran ‘Tun’, mengetuai senarai 1,518 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2017 bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini.

Tiga tokoh iaitu Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif dan dua bekas menteri kabinet iaitu Datuk Seri S. Samy Vellu dan Tan Sri Michael Chen Wing Sum, dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.

Md Raus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara selama tiga tahun berkuat kuasa pada 4 Ogos lepas.

Samy Vellu, yang kini Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur, adalah bekas Menteri Kerja Raya manakala Michael Chen merupakan bekas Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru.

Tiga individu pula dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.
Penerima augerah itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Seramai 48 individu pula dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad.

– Bernama

.