KETIKA UMNO RAI ULANG TAHUN KE-71, TIMBUL KEBIMBANGAN IA TEWAS DI JOHOR

KETIKA Umno berkumpul untuk menyambut ulang tahunnya ke-71 dengan perhimpunan besar-besaran, sesetengah pemimpinnya kelihatan bimbang di Johor, negeri paling selatan di mana parti Melayu itu ditubuhkan.

Kemungkinan kehilangan lebih banyak kerusi negeri dan Parlimen di kubu Umno itu dibincangkan oleh pemimpin Johor secara tertutup.

Sebab bermulanya sentimen seperti itu ialah: kemarahan dalam kalangan ahli parti Johor terhadap kepimpinan Umno Pusat di bawah Presiden Najib Razak dan percaya yang pentadbirannya tidak mengendalikan isu kehidupan harian seperti inflasi dan pengangguran golongan belia.

Seorang sumber dalaman Umno berkata pemberontakan itu diterjemahkan kepada lebih banyak sokongan orang Melayu kepada gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bersatu ditubuhkan oleh bekas pemimpin parti termasuk bekas presidennya Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan presiden Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir.

Ketua Penerangan Umno Johor Samsol Bari Jamali bagaimanapun menafikan perkara itu, berkata momentum yang dibina “Team Johor” di bawah Menteri Besar Khaled Nordin tidak akan terpecah oleh PH dan Bersatu.

Bersatu pada masa ini meletakkan dirinya sebagai satu parti alternatif berdaya maju untuk Melayu Johor, dan ia sesuatu yang agak mengagumkan memandangkan Umno dilahirkan di negeri itu dan wakil rakyatnya tidak pernah ditewaskan sehinggalah pada pilihan raya umum (PRU) 2008.

“Umno akan terjejas teruk pada PRU akan datang tetapi ia mungkin tidak akan karam,” kata seorang sumber dalaman parti menggambarkan prospek Umno pada PRU akan datang.

– https://www.themalaysianinsight.com

.