KETIKA KSU DITAHAN SPRM, NAJIB HANYA MAMPU MENGULAS TENTANG KUCING

Meskipun SPRM sejak kebelakangan ini sudah melakukan beberapa tangkapan di kalangan penjawat awam dalam usaha membanteras gejala rasuah yang kian membarah, termasuk yang terbaru seorang Ketua Setiausaha sebuah kementerian telah ditahan, malangnya tidak kedengaran lagi sebarang reaksi atau ulasan mengenainya daripada Najib Razak.
Berbeza semasa era Tun Mahathir Mohamad atau Tun Abdullah Badawi sebelum ini, jika ada tangkapan serupa itu, kita pasti akan mendengar reaksi positif atau mengalu-alukan usaha agensi itu daripada mulut seorang Perdana Menteri yang sedang mengetuai kerajaan.
Sememangnya, di ketika tangkapan demi tangkapan dilakukan oleh SPRM dan seluruh rakyat juga memperkatakannya, terutama berkaitan begitu banyak wang tunai, barang kemas, jongkong emas dan simpanan haram ditemui di bank-bank dalam jumlah yang agak mengejutkan, reaksi positif daripada Perdana Menteri adalah amat penting sebagai gambaran kepada rakyat beliau menyokong sepenuhnya tindakan pembanterasan itu.
Tambahan lagi, Najib dikenali sebagai antara pemimpin yang pantas memberi reaksi atau komen terhadap hampir semua perkara, sehingga mengenai gerhana dan perlawanan bolasepan Manchester United pun beliau tidak melepaskan peluang menulis di Facebook atau Twitter mengenainya.
Tetapi, kenapa Najib memilih tidak memberi reaksi mengenai tangkapan demi tangkapan oleh SPRM, terutama yang terbaru melibatkan seorang Ketua Setiausaha yang merupakan penjawat awam tertinggi ditahan setakat ini berkaitan rasuah?
Sejak dua hari lalu, saya mencari-cari di pelbagai sumber media sosial dan portal untuk melihat jika ada sebarang reaksi daripada Najib mengenai tangkapan terbaru SPRM itu, namun tidak terjumpa langsung mengenainya.
Di Facebook atau Twitternya, yang ada hanyalah tulisan mengenai banjir, pertemuan dengan Panglima ATM yang baru, tentang MRT dan serangan di Turki.
Apa yang menggelikan hati, di laman Twitter miliknya, sempat pula Najib memuatnaik mengenai seekor kucing yang baru dimilikinya.
Apakah kucing lebih penting berbanding mengulas tentang rasuah bagi seorang Perdana Menteri?
Adakah Najib kurang puas hati dengan tangkapan demi tangkapan sehingga ini yang sekarar melibatkan ikan kembung, tamban dan cencaru saja?
Atau mungkinkah Najib seperti majoriti rakyat lain yang hanya berpuas hati dan gembira mengenai pembanterasan rasuah di negara ini jika rasuah tentang SRC International yang melibatkan “seseorang yang terang-terang menerima RM42 juta melalui akaun peribadi” turut dilakukan tangkapan dan dibawa ke muka pengadilan? (SH 06/01/2016).
.