KETIADAAN WAKIL DAP DI CERAMAH HARAPAN JADI PERHATIAN

Ketiadaan nama sebarang pemimpin DAP dalam risalah promosi untuk ceramah anjuran Pakatan Harapan di Johor Bahru mencuri perhatian dan menimbulkan pelbagai soalan.

Ceramah itu dijadualkan malam esok di Pasar Khamis Sungai Tiram, yang terletak di kawasan Parlimen Tebrau.

Menurut risalah itu, penceramah yang disenaraikan hanya dari PKR, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sahaja. Ini termasuk naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar, timbalan presiden AMANAH Salahuddin Ayub dan Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Adalah dipercayai apa yang terjadi ada kaitan susulan bantahan oleh PKR berhubung hasrat DAP untuk melobi Pakatan Harapan supaya parti itu dibenarkan bertanding di salah satu daripada tiga kerusi parlimen sekitar bandaraya Johor Bahru – Johor Bahru, Tebrau dan Pasir Gudang.

Semasa pilihan raya umum lalu, hak untuk bertanding tiga kerusi tersebut diberikan kepada PKR oleh Pakatan Rakyat yang kini sudah berkubur.

Ketua PKR Tebrau, Steven Choong (foto, kanan) ketika dihubungi, menafikan kononnya dakwaan ketiadaan wakil DAP dari senarai penceramah itu ada kaitan dengan soal pembahagian kerusi.

“Tidak, tidak, sama sekali tidak,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, DAP Tebrau tidak terbabit dalam mesyuarat awal untuk acara itu dan oleh itu tidak ada pemimpin mereka yang dijemput.

“Sejak Pakatan Harapan (Tebrau) ditubuhkan pada Mei, kami telah meminta DAP menghantar wakil, tetapi mereka tidak berbuat demikian. Mereka juga tidak menyertai mesyuarat awal…

“Cara kami adalah masing-masing menjemput penceramah dari parti sendiri, tetapi DAP tidak menghadiri mesyuarat,” katanya.

Bagaimanapun, seorang pemimpin DAP Johor, yang tidak mahu mendedahkan namanya, berkata penjelasan Choong tidak masuk akal.

“Mereka boleh menjemput sesiapa sahaja, biasanya penganjur akan menghubungi pemimpin nasional atau negeri DAP secara langsung, tidak perlu melalui pemimpin divisyen,” katanya.

Ditanya sama ada DAP akan menghantar pemimpin untuk acara tersebut, pemimpin DAP berkata parti itu mengambil pendekatan “tunggu dan melihat”.

– M’kini

.