KESILAPAN KETIKA BERKHATAN, BUDAK LELAKI HILANG KEMALUAN

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun kehilangan kemaluannya selepas gagal dalam prosedur penyambungan semula, menjadikan kes kesilapan berkhatan yang kedua dalam tempoh seminggu.

Menurut peguam Hindraf P Uthayakumar, kepala kemaluan kanak-kanak itu terputus ketika prosedur berkhatan menggunakan gunting di sebuah klinik Jalan Ipoh pada 15 Disember lalu.

Uthayakumar berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menyambung kembali kepala kemaluannya.

Walau bagaimanapun, usaha tersebut menemui kegagalan dan kemaluan kanak-kanak itu bertukar menjadi hitam yang membuatkan pihak doktor tidak mempunyai pilihan lain kecuali memotongnya.

“Lebih malang kes ini berlaku ke atas seorang kanak-kanak yang susah. Dia sangat muda dan tidak tahu apa yang telah berlaku,” kata Uthayakumar yang akan mengadakan sidang media berhubung kes ini pada Jumaat.

Pada Selasa, turut dilaporkan kepala kemaluan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terpotong semasa prosedur berkhatan berasaskan laser di sebuah klinik di Taman Cheras Utama.

Difahamkan kejadian itu berlaku pada kira-kira 8.15 malam pada 20 Disember lalu.

Selepas prosedur tersebut selesai, doktor memberitahu kepada bapa kanak-kanak itu bahawa dia tidak sengaja terpotong kepala kemaluan anaknya.

Kanak-kanak itu terus dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan dan kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pembedahan menyambung semula kepala kemaluan mangsa.

Difahamkan, pembedahan itu berjaya.

– ANN

.