KES HARUSSANI: Sengaja burukkan tokoh agama?

IPOH – Tindakan menghina Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hanya menonjolkan kejahilan pertubuhan liberal itu dalam membezakan antara nas syarak, pandangan ulama dan pendekatan pengurusan hal ehwal Islam.

Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim menyifatkan kumpulan tersebut sengaja memburuk-burukkan tokoh dan institusi agama dengan hanya mengambil kenyataan ucapan terpilih tanpa melihat kepada skop sebenar.

Menurutnya, mereka cuba menjarakkan masyarakat daripada agama dan menganggap agama itu satu kongkongan dengan memburuk-burukkan ulama dan institusi agama.

“Itu prinsip asas golongan liberal yang dipaksa pakai kepada umat Islam di Malaysia.

“Mereka ajak orang lain bersifat terbuka, sebaliknya mereka sendiri yang jumud (sempit),” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pelajar-pelajar Islam Perak (KPIP), Khairil Amri Abdul Rahman berkata, KPIP Perak akan menghantar memorandum bantahan kepada dua pertubuhan tersebut supaya menarik semula ‘anugerah’ diberikan itu.

Beliau berkata, tindakan tersebut agak keterlaluan dan penghinaan terhadap umat Islam, pada masa sama mencabar kewibawaan Islam.

“Mereka perlu minta maaf secara terbuka kerana memutar belitkan isu sebenar.

“Pihak berkenaan perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya.

SINAR HARIAN