Kes Guan Eng tangguh 6 Disember

GEORGETOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan 6 Disember ini untuk pengurusan kes lanjut  kes rasuah Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Khoon berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan memohon tempoh tambahan untuk meneliti dokumen pendakwaan setebal 13,000 muka surat.

Hadhariah berkata, tempoh dua bulan adalah mencukupi selain turut mengingatkan kes berkenaan tidak boleh ditangguhkan.

Salah seorang peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo berkata, penangguhan itu dibuat bagi membenarkan pihak pendakwaan dan pembelaan menyelaraskan dokumen kes setebal lebih 13,000 muka surat.

Menurutnya, proses penyelarasan itu perlu dibuat bagi prosiding perbicaraan dijalankan dengan lancar.

“Ia satu prosedur biasa dalam kes mahkamah. Penyelarasan ini perlu untuk menyeragamkan dokumen kedua-dua pihak.

“Jika kita teruskan tanpa dilakukan penyelarasan indeks, maka prosiding perbicaraan akan mengambil masa yang panjang dan menimbulkan masalah,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini di atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, Li Koon turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng bagi mendapatkan untuk diri Guan Eng lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.

– SH

.