KES ‘GODA’: KERTAS SIASATAN DISERAH KALI KE-3

Pihak polis akan menyerahkan kertas siasatan berkaitan dakwaan yang dikaitkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad ‘memikat’ isteri orang untuk kali yang ketiga.

“Dah siasat, saya sudah cakap banyak kali.

“Kita dah serahkan kertas (siasatan) itu pada 17 Oktober dan 30 Oktober lalu, kita pun dapat balik banyak tindakan-tindakan susulan yang kita perlu ambil sebelum kita serahkan balik (kertas siasatan),” jelas Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam sidang akhbar di Cheras hari ini.

Ditanya jika pihak polis telah mengambil kenyataan Dzulkifli berhubung perkara ini, Fuzi berkata mereka telah mengambil tindakan yang perlu.

“Yang itu tidak payah ajarlah kita. Kita dah ambil tindakan. Jadi jangan bimbang.

“Saya dah sebut banyak kali tentang perkara ini,” tambah beliau.

Dakwaan hubungan sulit Dzulkifli kali pertama muncul dalam video di media sosial. Seorang ahli perniagaan telah membuat laporan polis mengenai video itu dan mendesak siasatan dilakukan.

Polis siasat Raja Petra

Menjadi kesalahan jenayah di bawah undang-undang Malaysia untuk memikat isteri orang.

Manakala itu, dalam perkembangan lain, Fuzi mengesahkan sebuah kertas siasatan berkenaan blogger Raja Petra Kamarudin akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.

Pihak polis telah merekod kenyataan blogger tersebut susulan sebuah laporan polis dibuat oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mendakwa Raja Petra memfitnah beliau.

Kenyataan Raja Petra diambil di United Kingdom pada Rabu lalu oleh pasukan penyiasat yang melibatkan tiga anggota polis daripada ibu pejabat polis Bukit Aman.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

– M’kini

.