KES FOREX: PASUKAN PETUGAS KHAS UMUM 6 ANGGOTA

Pasukan petugas khas untuk menyiasat kerugian pertukaran asing (forex) Bank Negara sekitar tahun 1990-an hari ini mengumumkan pelantikan enam anggotanya.

Mereka adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Azam Baki, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah San dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

Turut dilantik adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, Pengerusi Bersama, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) Tan Sri Saw Choo Boon dan peguam kanan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, yang juga adalah rakan kongsi di Tetuan Jahaberdeen & Co.

Mengumumkan pelantikan itu, pengerusi pasukan petugas Tan Sri Mohd Sidek Hassan juga menamakan dinamakan Pengarah Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail sebagai setiausaha pasukan petugas itu.
Kabinet pada Februari lalu memutuskan untuk membentuk satu pasukan petugas khas untuk menyiasat apa yang didakwa sebagai “kerugian sebenar” Bank Negara yang berlaku kira-kira 25 tahun lalu dan mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab.

Pengkritik bagaimanapun mendakwa bahawa pasukan petugas itu bertujuan untuk mencemarkan imej Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu tetapi kini bersama pembangkang.

– M’kini

.