KERUSI PAS MASIH TIDAK SELAMAT

KELANTAN sehingga kini masih gagal digugat BN selepas kehilangan negeri tersebut kepada Pas sejak 1990 hingga sekarang.

Sebagai sebuah negeri kedua terbesar peratusan pengundi Melayu iaitu sebanyak 94.5 peratus, kuasa politik di Kelantan sepenuhnya terletak di tangan pengundi Melayu.

Tidak hairanlah sejak dahulu, persaingan merebut negeri itu disertai Pas dan Umno selaku parti terbesar Melayu di negara ini.

Ada pandangan mengatakan kekuatan Pas selama ini ditunjangi  Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bermula dengan era kebangkitan semula pengaruh parti itu selepas PRU 1982.

Nik Abdul Aziz selaku Pesuruhjaya Pas Kelantan, sekali gus menjadi Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat.

Kepimpinan Pas peringkat nasional berubah daripada kepimpinan tradisi nasionalis kepada kepimpinan ulama.

Hasil kepimpinan ulama, hala tuju tarbiah disusun semula dengan Ustaz Yahya Othman berganding bahu dengan Nik Abdul Aziz melaksanakan kuliah untuk masyarakat serta usrah buat pimpinan Pas dan hasilnya kefahaman dan fikrah perjuangan semakin mantap.

Pilihan raya umum pada 1990, Pas menang besar disebabkan krisis dalaman Umno Pusat dan BN negeri sehingga melahirkan Semangat 46.

Kemenangan Pas itu hasil kerjasama dengan Semangat 46 yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah.

Kerjasama ini diteruskan bersama Angkatan Perpaduan Ummah membabitkan Semangat 46, Berjasa dan Hamim.

Pas menguasai Kerajaan Kelantan apabila kesemua 39 kerusi Dun dimenangi Pas-25, Semangat 46- 12, Berjasa – 1 dan Hamim-1.

Kejayaan itu sedikit terganggu apabila Semangat 46 dilanda krisis dan dibubarkan pada 1996 namun Pas berjaya mengharunginya dengan memenangi 41 daripada 43 kerusi Dun pada 1999.

Selepas kematian Nik Abdul Aziz pada tanggal 12 Februari 2015, banyak pihak menganggap Kelantan yang sebelum ini dibayangi ketokohan dan kepimpinan ulama bakal tumbang, dan diambil alih Umno.

Perkara ini diperdebatkan berdasarkan beberapa perkara lain seperti perpecahan yang berlaku dalam parti itu dengan keluarnya Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan beberapa pemimpin lain yang menubuhkan Amanah.

Selain itu, kritikan terhadap Pas yang menggunakan pendekatan selamat atau berkecuali dalam soal melibatkan kepentingan rakyat dan dakwaan mengenai kecenderungan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Umno, sehingga timbul kenyataan ada kerjasama sulit antara kedua-dua parti pada PRU14 nanti.

Bagi Pas, mereka perlu sedar perbalahan berkaitan perkara remeh di Dun Kelantan bukan perkara diinginkan rakyat, tetapi penjelasan dan isu berkaitan kepentingan mereka perlu diutamakan.

Pentas ceramah Pas juga tidak boleh hanya digunakan untuk memburukkan parti lawan, sebaliknya dijadikan medium membicarakan soal kebajikan, pembangunan dan penjelasan yang ditimbulkan rakyat.

Rakyat kini terbeban dengan kos sara hidup semakin meningkat dan mereka bergantung harap kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan segala masalah.

Bagi Pas Kelantan, PRU14 cukup mencabar buat mereka dengan kehadiran Amanah yang sedang menyusup masuk ke akar umbi bagi meraih sokongan.

Amanah mungkin tidak mampu melakukan perubahan undi kepada mereka secara drastik tetapi isu-isu yang melingkari Pas sudah pasti menjadi bahan kempen mereka bagi mempengaruhi pengundi.

Bahkan, menurut sumber, Amanah akan bertanding di 32 kerusi Dun bagi menarik pengundi Pas dan pengundi di atas pagar.

Jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara Pas, Umno dan Amanah, sudah tentu ia menguntungkan Umno.

Kerusi-kerusi majoriti rendah seperti Jelawat (102 undi majoriti), Gaal (302 undi), Gula Periok (615 undi), Bukit Tuku (879), Pulai Chondong (919 undi), Wakaf Baru dan Tendong (978 undi) boleh jatuh ke tangan Umno.

Walaupun mempunyai pengundi tegar, Pas perlu sedar tentang politik semasa yang banyak berubah selain media sosial mengambil alih pentas ceramah.

Jika sebelum ini anak muda lebih agresif dalam setiap program Pas, kini jumlah mereka lebih kecil berbanding sebelum PRU13. Mereka mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga ke hari pengundian.

Sementara itu bagi Umno pula, mereka tidak boleh terus dibuai dengan pelbagai pujian positif bahawa mereka mampu menang di Kelantan berdasarkan prestasi semasa.

Benar, pelbagai program berfokus giat dijalankan bagi menarik sokongan pengundi, tetapi pelbagai dakwaan dan tohmahan terhadap parti itu perlu diperjelaskan.

Mereka tidak boleh hanya mengharapkan keajaiban sewaktu PRU14 berdasarkan situasi semasa Pas kerana mereka cukup terkenal dengan pengundi tegar.

Umno perlu mengenal pasti calon terbaik mereka kerana berdasarkan kepada pemerhati politik, pengundi parti itu melihat kepada faktor calon.

Jika calon yang ditampilkan mempunyai latar belakang baik dan mempunyai pengetahuan tentang agama, undi popular yang diterima Umno meningkat walaupun tidak menang.

Beberapa kerusi Dun milik Umno yang majoriti kecil seperti Dabong (229 undi), Air Lanas (47 undi) dan selising (107 undi) berada dalam keadaan bahaya andai wakil rakyat yang dipilih pada PRU13 tidak menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin.

Bagi kerusi parlimen pula, Umno perlu sedar mereka berjaya merampas semula Machang, Tanah Merah dan Ketereh daripada PKR.

Seperti sedia maklum, tidak semua pengundi Pas memberi undi kepada parti itu dan kerusi tersebut adalah kerusi Pas sebelum ini.Dengan majoriti undi kecil, sudah pasti Umno dalam keadaan bahaya dan jika Pas meletakkan calon mereka di parlimen ini, kelebihan itu ada di tangan parti berkenaan.

Bersatu dijangka memberi tumpuan kepada Parlimen Kelantan, justeru, umno tidak ada jalan lain selain bekerjasama dengan Pas.

Selain itu, lebih 20 peratus pengundi Kelantan tinggal di luar negeri itu dan mereka boleh menjadi penentu kepada kerajaan baru selepas pilihan raya umum.

Mereka biasanya akan mengundi mengikut peralihan cita rasa nasional yang mana ia tidak memihak kepada Umno.  Justeru, siapa yang berjaya memikat hati pengundi luar ini akan mendapat keuntungan.

– Sinar Harian

.