KERUSI NEGERI ATAU PARLIMEN JADI PILIHAN PANDIKAR?

Spekulasi sama ada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan bertanding di kerusi dewan undangan negeri atau parlimen Sabah menjadi sebutan sejak beliau mengumumkan akan kembali aktif dalam politik.

Akhbar Daily Express melaporkan kemungkinan besar, Pandikar akan bertanding di kerusi DUN Tempasuk yang pernah dimilikinya atau di kerusi baru yang diwujudkan, Pintasan.

Kedua-duanya kerusi negeri itu terletak di kawasan Parlimen Kota Belud.

“Saya telah melihat banyak dalam politik, di peringkat persekutuan mahupun negeri. Dengan pengalaman saya dan rangkaian politik seluruh negara, terdapat banyak perkara yang saya boleh saya sumbang demi kestabilan politik di Sabah,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang menubuhkan Parti Bersih pada awal tahun 1980an selepas menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang juga pernah terbabit dengan PBS dan Akar, serta masih merupakan ahli Umno.

Pandikar, 64, juga dipetik berkata, beliau tidak keberatan untuk kembali ke Parlimen di mana dirinya telah menjadi speaker selama sembilan tahun sekarang atau dua penggal.

“Selepas sembilan tahun sebagai Speaker, dan memberi arahan, perintah kepada wakil rakyat supaya duduk, adalah menjadi hasrat saya, seterusnya, berada dalam dewan yang sama dan diarahkan pula supaya duduk,” katanya.

Daily Express melaporkan untuk berada dalam “dewan yang sama” akan memerlukan Pandikar dilantik sebagai ahli parlimen. Jika demikian, beliau mungkin akan bertanding di kerusi parlimen Kota Belud, yang kini dipegang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Jika ini berlaku, spekulasi adalah bahawa Abdul Rahman akan berpindah ke Sepanggar.

Menurut akhbar itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, akhir-akhir ini telah mengadakan pertemuan demi pertemuan dengan pemimpin peringkat bahagian Umno dan pemimpin parti komponen BN di Sepanggar.

Kerusi itu dipegang oleh Datuk Jumat Idris yang keahliannya dalam Umno telah digantung kerana lantang mengkritik pimpinan Umno negeri Sabah.
Ketika dihubungi untuk pengesahan oleh Daily Express, Pandikar berkata: “Kerusi mana saya akan bertanding, pada dasarnya, telah dimuktamadkan.

“Tetapi saya serahkan kepada kebijaksanaan pemimpin BN, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan untuk membuat keputusan.

“Tetapi buat masa ini, saya sahkan akan kembali ke politik.”

– M’kini

.