KERUSI MARGINAL BN SELAMAT DENGAN PERTEMBUNGAN 3 PENJURU

The Malaysian Insight sedang menjalankan siri mengenai kerusi Parlimen marginal menjelangPilihan Raya Umum ke-14. Di Kuala Kangsar, kita melihat bagaimana kerusi BN yang tidak stabil menjadi lebih selamat dengan persengketaan PAS-PH.

JIKA memperoleh tambahan 7,600 undi, Pakatan Harapan (PH) Perak percaya ia akan dapat menawan kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Ia mensasarkan undi tambahan itu kemungkinannya akan datang daripada pengundi seperti Mohd Hashim Mohd Adnan yang berniaga barangan kraftangan berhampiran tebing sungai di sepanjang Jalan Laksamana, tidak jauh dari medan selera tempat orang menikmati cendol dan laksa jika singgah di Kuala Kangsar.

Jualan di kedainya merosot sejak kerajaan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2014. Dek marahkan GST, orang seperti dia mungkin tidak mengundi Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Tetapi orang seperti Hashim mungkin juga akan mengundi PAS dan itu kemudiannya akan memberikan kemenangan kepada BN.

Itulah yang berlaku pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar pada 2016 apabila pembangkang yang berpecah dan tidak menggemlengkan tenaga serta undi untuk mengalahkan calon BN, Mastura Mohd Yazid.

Calon BN mendapat 12,653 undi. Calon PAS, Najihatussalehah Ahmad mendapat 5,684 undi sementara calon Amanah, Ahmad Termizi Ramli memperoleh sebanyak 4,883 undi.

Kuala Kangsar adalah contoh apa yang akan kita lihat pada kebanyakan kerusi Parlimen di bahagian pantai barat Semenanjung Malaysia pada PRU14 — sebuah kerusi marginal, yang dimenangi tipis oleh BN sebelum ini, yang mungkin pada kali ini dirampas oleh pembangkang tetapi nampak gayanya akan kekal di tangan BN kerana pertembungan tiga penjuru.

PAS sebelum ini mengaut untung besar daripada kerjasama dengan PKR dan DAP dan berjaya mengembangkan pengaruhnya ke kawasan-kawasan baru di sebelah barat Semenanjung Malaysia termasuk Kuala Kangsar.

Mohd Hashim Mohd Adnan mengakui jualan kraftangannya merosot sejak kerajaan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 November, 2017.
Mohd Hashim Mohd Adnan mengakui jualan kraftangannya merosot sejak kerajaan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 November, 2017.

Tetapi kini parti Islam itu mahu bertanding melawan BN dan bekas sekutunya, yang kini bergabung dalam PH. Penganalisis berpendapat pertandingan tiga penjuru seperti itu dari segi sejarahnya menguntungkan BN.

Ini masalah yang sememangnya diketahui oleh PH dan PAS. Kedua-duanya sibuk menyemak data untuk mengenal pasti berapa banyakkah sebenarnya sokongan yang mereka ada, dan berapakah banyak lagikah undi yang mereka perlukan untuk menang.

Bandar diraja kelas menengah

Bandar ini, orang menyebutnya Kuala, adalah tempat bersemayamnya Kesultanan Perak.

Ia terbahagi dua oleh Sungai Perak, dengan dua kerusi Dewan Undangan Negeri: Bukit Chandan di sebelah timur dan Manong di sebelah barat.

Kawasan Parlimen ini mempunyai keseluruhan 33,450 pengundi, 68% daripadanya Melayu, 24% Cina dan 7% India.

Kedua-dua kerusi DUNnya dimenangi oleh BN dengan kurang 1,000 undi. BN menang DUN Manong dengan majoriti 231 undi manakala DUN Bukit Chandan dengan 959 undi.

Pada PRU 2013, calon BN, Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dapat 14,218 undi mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah yang dapat 13,136 undi. Majoriti kemenangan ialah 1,082 undi.

Calon bebas, Kamilia Ibrahim, bekas pemimpin kanan Wanita Umno, dapat hanya 447 undi.

Pada pilihan raya kecil 2016, balu Wan Mohammad Khairil, Mastura mengatasi undi yang diperolehi arwah suaminya dengan mencatatkan kelebihan majoriti 6,969.

Daripada dua kerusi negeri itu, kawasan Bukit Chandan agak bandar kerana di situ terletak pusat pekannya. Manong pula meliputi kebanyakan kawasan pinggir pekan dan kampung-kampung.

Dalam kawasan DUN Bukit Chandan terletaknya pejabat-pejabat kerajaan negeri dan persekutuan termasuk sebuah hospital kerajaan. Universiti Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan mempunyai pelajar dan tenaga pengajar berjumlah lebih kurang 4,200 orang.

Di bandar ini juga terletaknya antara sekolah tertua di negara seperti SMK Clifford dan Kolej Melayu Kuala Kangsar, yang menjadikan bandar diraja ini seperti sebuah pusat pendidikan.

Oleh sebab itu, kawasan Parlimen ini mempunyai jumlah kelas menengah yang besar yang mengisi institusi pendidikan dan kerajaan di Kuala Kangsar, kata peniaga Mohamad Alfa.

“Kelas menengah ini agak besar. Semasa Hari Raya Aidil Adha, kami sampai susah nak agih-agihkan daging,” katanya, merujuk kepada pembahagian daging korban.

Bandar kecil, harga mahal

Tetapi kelompok kelas menengah ini berdepan hari-hari yang sukar sejak tiga tahun lepas.

“Orang luar yang datang sudah kurang belanjanya sebab duit dah kurang,” kata peniaga barangan kraf, Zaliha Mat Kasa, 70, yang mengaku jualannya berkurangan.

“Dulu masa hujung minggu, saya boleh dapat dalam RM700. Tetapi sekarang tak sampai RM100,” katanya, yang juga sudah membuat labu sayong sejak 30 tahun lalu.

Peniaga Mohamad Alfa berkata Kuala Kangsar mempunyai jumlah kelas menengah yang besar dengan kewujudkan beberapa institusi pendidikan dan kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 November, 2017.
Peniaga Mohamad Alfa berkata Kuala Kangsar mempunyai jumlah kelas menengah yang besar dengan kewujudkan beberapa institusi pendidikan dan kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 November, 2017.

Pesara di Kuala Kangsar, seperti bekas peniaga Ahmad Kareem, merungut tentang harga ikan dan sayur-sayuran yang mahal.

“Saya tak faham kenapa harga makanan mahal di Kuala Kangsar. Bukannya jauh, tak sampai 40 minit dari Kuala Sepetang,” katanya, merujuk kampung nelayan ke utara dari bandar diraja ini.

“Tetapi ikan kembung sampai RM18 sekilo, sardin RM10. Itu harga macam beli di Ipoh.”

Kemarahan tentang ekonomi seperti inilah yang diharapkan oleh pemimpin negeri dari PH dan PAS akan diterjemahkan jadi undi berontak terhadap BN pada pilihan raya nanti.

Tetapi persoalannya parti pembangkang yang mana satu?

Pembuat labu sayong, Zaliha berkata PAS sudah jadi semakin berpengaruh dalam kalangan peniaga di bandar itu.

“PAS dah jadi makin kuat. Isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) juga memberi kesan pada ahli-ahli Umno.”

PH juga tidak kalah dalam gerak kerjanya.

Pada April lepas, Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad datang berceramah di Kuala Kangsar. Ceramah itu menarik kehadiran lebih kurang 2,000 orang.

Timbalan Pengerusi PH Perak, Asmuni Awi percaya pertandingan tiga penjuru akan menguntungkan PH di Kuala Kangsar.

“Kami sasarkan 80% undi bukan Melayu dan kalau dapat 40% undi Melayu, kami boleh menang,” kata Asmuni yang mengetuai Amanah Perak.

Daripada congak-congak Asmuni, PH perlu mengekalkan sokongan yang ia ada di Kuala Kangsar sekarang dan mendapatkan tambahan 7,600 undi.

Undi tambahan ini boleh saja datang daripada ahli dan penyokong Umno, yang tidak lagi berkenan dengan pentadbiran Najib, atau daripada penyokong PAS yang tidak bersetuju dengan hala tuju parti Islam itu dibawah kepimpinan Presiden Abdul Hadi Awang.

PAS sebaliknya percaya ia boleh mengembangkan 5,600 undi yang diperolehinya semasa pilihan raya kecil lalu, kata Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

“Kita sudah buat audit dalaman dan kita tahu kurang daripada 1 peratus ahli-ahli PAS yang keluar untuk menyertai PH,” kata Razman.

Tambah beliau, PAS lebih mudah jadi tarikan kepada ahli-ahli Umno berbanding PH, dan tambahan undi inilah yang akan memenangkan parti itu Islam itu.

“Mesej kami ialah kita perlukan pakatan yang dikuasai oleh Melayu-Islam untuk memastikan kestabilan politik di negara ini. PH ini pakatan parti-parti serpihan dan ia tidak dikuasai oleh Melayu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.