KERTAS SIASATAN 1MDB DIHANTAR SEMULA KE JABATAN PEGUAM

KERTAS siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dihantar semula kepada Jabatan Peguam Negara dan sedang menunggu arahan selanjutnya, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kertas siasatan polis berhubung siasatan ke atas 1MDB telah beberapa kali dikemukakan Jabatan Peguam Negara dan dikembalikan semula dengan arahan untuk melaksanakan beberapa tindakan lanjut.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah melaksanakan tindakan-tindakan siasatan yang diarahkan dan merujuk kembali kertas siasatan berkenaan ke Jabatan Peguam Negara.

“Sehingga kini, PDRM sedang menunggu nasihat dan arahan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan dari soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua pada 2 November.

Pua meminta menteri dalam negeri menyatakan status siasatan pihak polis terhadap “Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB) dan lain-lain pengurusan berkaitan” mengenai skandal tersebut seperti disyorkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan sama ada kes tersebut sudah ditutup.

Pada minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Saidmenyatakan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali mengarahkan polis menjalankan siasatan lanjut kali kedua berhubung kes 1MDB.

Apandi pada Jun lalu berkata tiada bukti penyalahgunaan wang 1MDB daripada mana-mana penyiasatan agensi penguatkuasaan undang-undang membabitkan pelbagai bidang kuasa.

Beliau berkata demikian susulan tindakan undang-undang sivil dibuat oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

– https://www.themalaysianinsight.com

.