KERJASAMA YANG LUAR BIASA

Tarikh 2hb Februari ini amat penting sekali kepada politik negara. Kata kawan-kawan, inilah hari pertemuan yang akan menentukan sama ada Pas akan bekerjasama atau tidak dengan Bersatu dalam PRU 14 nanti. Saya pun sebenarnya tidaklah mengetahui apa bentuk kerjasama yang akan dibincangkan oleh Bersatu dan Pas nanti, tetapi saya harap mereka beritahulah kepada orangramai perkara utama perbincangan mereka dan sama ada mereka berjaya atau tidak dalam usaha itu.

Sudah tentunya, Amanah dan DAP tidak termasuk dalam perbincangan itu. Pas menggangap Amanah dan DAP sebagai musuh yang tidak boleh dimaafkan. Bagi mereka Tun Dr Mahathir Mohamad pun tidak berguna langsung, malah mereka mahu bekas Perdana Menteri itu bertaubat terlebih dahulu. Inilah sikap sombong ulama-ulama Pas.

Nampaknya Bersatu rela ketua mereka diperhinakan sebegitu rupa, semata-mata kerana mahu “satu lawan satu” menjadi kenyataan. Apa maksud “satu lawan satu?” Bagi Bersatu mereka mahu kerusi-kerusi yang mereka tandingi tidak akan ditandingi oleh Pas, manakala Bersatu pula tidak akan meletakkan calon di mana Pas bertanding.

Bersatu parti baru dan untuk memenuhi janji mereka kepada orang Melayu, maka mereka mestilah bertanding di kerusi-kerusi UMNO. Jadi, kita tunggulah sejauh mana Pas akan memberi laluan kepada Bersatu dalam 60 kerusi yang mereka tandingi dalam PRU13 dahulu.

PKR juga mestilah memberi laluan kepada Bersatu di kerusi-kerusi yang mereka berlawan dengan UMNO kerana kalau tidak, tidak ada ertinya usaha “satu lawan satu” yang diidamkan itu. Tidak ada erti juga kerjasama dengan Pas yang giat diusahakan selama ini. Amanah pun mestilah sanggup memberi laluan kepada Bersatu di semua kerusi pilihan Bersatu untuk bertanding, jika tidak, turut sia-sialah juga usaha mewujudkan kerjasama dengan Pas itu.

Dengan ringkasnya Bersatu mahu Pas, Amanah dan PKR memberi laluan kepada mereka berlawan dengan UMNO “satu lawan satu” di kerusi-kerusi yang mereka tandingi nanti, termasuk sejumlah kerusi yang Pas akan ‘hadiahkan” kepada mereka .

Saya tidak nampak Bersatu mampu untuk memastikan Pas tidak meletakkan calon mereka di kerusi-kerusi di mana Amanah, DAP dan PKR bertanding. Dengan lain perkataan, Bersatu rela kerusi Amanah, DAP dan PKR ditandngi oleh Pas dan UMNO. Maknanya, bagi Bersatu tidak mengapa berlaku pertandingan tiga penjuru di kerusi-kerusi Pakatan Harapan, asalkan kerusi Bersatu kekal “satu lawan satu”.

Inilah percaturan politik yang sukar saya fahami, tetapi biarlah kita semua tunggu kebolehan luar biasa pimpinan Bersatu dan Pas mencari penyelesaian tersebut.

– Zaid.my

.