KERJASAMA UMNO, PAS AKAN TERBENTUK, MILIK DNA SAMA

BALIK PULAU – Perbalahan antara Umno dan Pas dijangka tidak akan berpanjangan berikutan mempunyai matlamat sama dalam perjuangan politik masing-masing.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, dengan jalinan persahabatan yang dapat dilihat pada masa ini, beliau meramalkan satu kerjasama akan terbentuk antara Umno dan parti Islam tersebut.

Menurutnya, selain itu, kedua-dua parti itu juga didapati mempunyai asid desksiribonukleik (DNA) yang sama dan itu akan membolehkan Pas dan Umno membentuk kerjasama.

“Kerjasama ini dilihat akan terbentuk dari masa ke semasa kerana didapati kedua-dua parti mempunyai DNA yang sama. Walaupun Pas menjunjung ideologi dan cara yang berbeza, namun mereka mempunyai DNA dan matlamat yang sama dengan kita, iaitu memperjuangkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

“Dahulu, kita lihat Pas dalam proses mencari perbezaan antara mereka dengan Umno. Akan tetapi, dengan pentadbiran baharu, di bawah pucuk kepimpinan Pas yang ada sekarang, mereka kini menunjukkan sedikit perubahan apabila mereka mula mencari titik kebersamaan itu,” katanya kepada media malam tadi.

Annuar berkata, kerjasama yang diramalkan itu tidak bermaksud Pas akan menyertai Umno atau BN.

“Ramalan ini dilihat dari sudut matlamat dan titik kebersamaan, bukannya bermaksud Pas masuk Umno atau Umno masuk Pas. Tidak semestinya Pas menyertai BN. Apa yang penting, matlamat perjuangan. Atas dasar ini lah yang menyebabkan saya meramalkan terbentuknya kerjasama yang lebih kukuh antara kedua-duanya dari masa ke semasa.

“Tunggu lah, mungkin beberapa minggu atau bulan lagi, apabila pilihanraya makin dekat, saya percaya akan ada pengumuman yang akan menggembirakan rakyat terutamanya orang Islam dan kaum Melayu. Selagi mana ada titik kebersamaan, kerjasama itu akan terbentuk,” katanya.

Terdahulu, Annuar menghadiri program jelajah Dialog Perjuangan 4 All di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau di sini.

Turut hadir Ahli Parlimen Balik Pulau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan moderator Profesor Madya Datuk Dr Junaidi Abu Bakar.

Dalam program dialog tersebut, antara yang mengutarakan soalan kepada Anuar adalah Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri, Zaidi Ahmad.

Dalam soalannya, Zaidi membangkitkan isu 1MDB dan laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) terhadap syarikat tersebut.

Menjawab kepada soalan tersebut, Annuar berkata, isu tersebut merupakan isu kitaran dan tidak lagi dipedulikan masyarakat berikutan kerap kali dibangkitkan dalam Parlimen.

“Ketika isu 1MDB ini dibawa Tony Pua dalam Parlimen, Perdana Menteri mengambil pendekatan cukup gentleman, beliau menjawab setiap soalan yang dibangkit. Berpuluh kali dah jawab, kerajaan tak pernah lari.

“Akhir sekali, Perdana Menteri serah kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk mengenal pasti kelemahan dan kesalahan untuk diperbetulkan. Saya harap renungkan isu ini dengan hati, bukan dengan sentimen,” katanya.

– M’kini

.