KERJASAMA PAS, BERSATU MAKIN SUKAR DICAPAI

SHAH ALAM – Pusat Penyelidikan Pas (PPP) melihat hubungan kerjasama antara Pas dan Bersatu semakin sukar dicapai berikutan desas-desus terbaru.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata demikian, bagi merujuk kepada desas-desus akan ada perjanjian antara Bersatu dan DAP untuk menyerahkan jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan kepada DAP.

“Sekiranya benar, Pas diyakini bertindak tegas tidak lagi mewujudkan hubungan kerjasama dengan Bersatu.

“Perkembangan terbaru ini, sememangnya mengejutkan dan PPP yakin ia akan merencatkan sama sekali siri pertemuan antara Pas dan Bersatu untuk menjalin hubungan kerjasama.

“Buat masa ini, Pas sama ada melalui Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, belum membuat apa-apa keputusan untuk bekerjasama dengan Bersatu. Yang ada ketika ini, hanyalah siri-siri pertemuan dan program bersama untuk menerokai dan menjalin hubungan tersebut,” katanya, semalam.

Menurutnya, dengan perkembangan terbaru itu, PPP yakin akan menutup terus ruang kerjasama antara Pas dan Bersatu.

“PPP juga yakin seluruh pimpinan dan ahli Pas menentang keras sebarang tawaran ingin diberikan kepada DAP untuk menjawat jawatan utama dalam kerajaan,” katanya.

Cakap-cakap mengenai adanya pakatan sulit antara Bersatu dan DAP untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan jawatan timbalan perdana menteri kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang dinyatakan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim pada 31 Disember tahun lalu.

Mengikut pakatan sulit itu, Kit Siang juga dikatakan akan menjadi menteri kewangan.

Tunku Aziz telah mencabar Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kit Siang untuk membuat perakuan bersumpah menafikan tuduhannya.

Kit Siang bagaimanapun, menafikan bahawa DAP meminta jawatan timbalan perdana menteri jika pembangkang memenangi PRU14.

– http://www.sinarharian.com.my/

.