KERJASAMA DENGAN PAS MUSTAHIL, UMNO IKRAR TAWAN KELANTAN PRU14

KESUKARAN untuk bekerjasama dengan PAS menyebabkan Umno bersiap sedia merampas Kelantan yang dikuasai musuh tradisi mereka sejak 1990 itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Persetujuan itu dicapai dalam satu mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan yang diadakan di “rumah putih” Tengku Razaleigh Hamzah di Kuala Lumpur minggu lepas yang turut dihadiri Perdana Menteri Najib Razak.

“Mesyuarat berkenaan adalah untuk Umno Kelantan memberi taklimat kepada Najib mengenai persediaan pilihan raya.

“Selain itu Umno Kelantan menegaskan kepada Najib, tetap dengan pendirian untuk tidak kerjasama dengan PAS di Kelantan,” kata satu sumber yang mengetahui mesyuarat itu kepada The Malaysian Insight.

Sumber yang tidak mahu dinamakan itu memberitahu, walaupun pentadbiran Najib membantu Kelantan yang ditadbir PAS, pemimpin-pemimpin parti Islam itu tetap menyerangnya.

“Kerajaan persekutuan membantu negeri Kelantan dengan wang tunai dan projek bernilai berbilion ringgit.

“Tetapi PAS Kelantan berulang kali terus ‘menyakitkan’ hati kami. Macam mana nak berkawan kalau macam ni?

“Sebab itu Umno Kelantan tidak setuju dengan pakatan pilihan raya di Kelantan. PAS adalah musuh politik bagi Umno di Kelantan,” katanya.

Sejak 2008, PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR). Kerjasama itu bertahan sehingga 2015.

PR berkubur selepas PAS bertelingkah dengan DAP dalam isu hudud.

Tidak lama selepas itu Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan akan tetapi PAS tidak menyertainya.

Bagaimanapun PAS meneruskan kerjasama dengan PKR dan terus bersama kerajaan Selangor.

Akan tetapi Jun lalu PAS memutuskan hubungan dengan PKR tetapi tetap bersama kerajaan Selangor.

PAS menubuhkan Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan yang dipimpin bekas menteri Umno, Kadir Sheikh Fadzir.

Akan tetapi timbul cakap-cakap mengenai kerjasama tidak rasmi antara PAS dan Umno.

Ketua Penerangan Umno Annuar Musa pada Oktober mengatakan parti Melayu itu masih terbuka kepada sebarang bentuk kerjasama dengan PAS termasuk bekerjasama dalam pilihan raya.

Satu lagi sumber yang mengetahui mengenai mesyuarat di Kuala Lumpur minggu lalu memberitahu, Tengku Razaleigh sudah bersetuju untuk membantu Barisan Nasional (BN) untuk menawan Kelantan.

“Ku Li sudah bersetuju untuk membantu BN Kelantan buat kali terakhir untuk menang.

“Dulu PAS berjaya tawan Kelantan selepas bekerjasama dengan Ku Li pada PRU 1990, kali ini Ku Li akan membantu kami rampas balik Kelantan,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight menggunakan nama gelaran Tengku Razaleigh.

Tengku Razaleigh merupakan ahli politik veteran yang juga merupakan keluarga Diraja Kelantan.

Selepas perpecahan Umno pada 1987 akibat daripada tindakannya mencabar Dr Mahathir Mohamad sebagai presiden parti, Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.

Semangat 46 bekerjasama dengan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan berjaya merampas Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1990.

Pada 1996, Tengku Razaleigh membubarkan Semangat 46 dan kembali menyertai Dr Mahathir di dalam Umno.

Sejak 1990, PAS menguasai Kelantan sehingga kini. PAS berkemungkinan sukar mempertahankan Kelantan kali ini selepas parti serpihannya Amanah mahu turut bertanding di negeri itu.

Bagi Umno, pertembungan tiga penjuru di Kelantan akan menyebabkan BN kembali berkuasa. 

– https://www.themalaysianinsight.com

.