KERJASAMA BERSATU DAN PAS – POSITIF TERUS POSITIF ATAU POSITIF AKAN JADI NEGATIF?

Berikut adalah kenyataan media yang dikeluarkan selepas rundingan kerjasama antara Bersatu dengan Pas yang diadakan di Bangsar, hari ini:-

KENYATAAN JAWATANKUASA INDUK BERSAMA PAS-PPBM

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Bersama antara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah berlangsung hari ini di Kuala Lumpur dan berjaya menghasilkan persefahaman antara kedua-dua pihak. Delegasi PAS diketuai oleh YBhg Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS dan PPBM diketuai oleh YB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden PPBM.

Mesyuarat hari ini telah memperhalusi deraf rangka kerjasama persefahaman politik PAS-PPBM dalam menghadapi PRU 14 dan beberapa ketetapan positif telah diambil dalam usaha untuk memeterai kerjasama antara kedua-dua parti.

Rangka kerjasama antara PAS dan PPBM akan diperhalusi oleh pimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada satu tarikh terdekat.

Sehubungan itu, mesyuarat hari ini juga telah bersetuju untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Teknikal Bersama PAS-PPBM untuk mengambil tindakan susulan atas keputusan-keputusan yang dipersetujui oleh kedua-dua parti.

DATO’ TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden Pas

YB DATO’ SERI MUKHRIZ MAHATHIR
Timbalan Presiden PPBM

1 Februari 2017.
Sekali imbas ternampak rundingan itu berjalan serta menghasilkan ketetapan positif untuk mewujudkan kerjasama antara Bersatu dengan Pas bagi merealisasikan formula satu lawan satu menentang BN.

Bagaimanapun, sebagaimana yang disebut dalam kenyataan itu, kata putus kerjasama tersebut akhirnya masih perlu diperhalusi untuk dipersetujui oleh Presiden kedua-dua parti.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mungkin tidak banyak masalah untuk bersetuju mewujudkan kerjasama tersebut kerana beliau bersama parti itu memang ingin mengalahkan UMNO dan BN, tetapi bagaimana dengan Presiden Pas, Hadi Awang?

Apakah pendirian sebenar Hadi dalam soal-soal berikut:-

– serius benarkah beliau mahu menjayakan formula satu lawan satu untuk mengalahkan UMNO dan BN?

– bagaimana dengan 70 kerusi yang Pas selalu sebut sebelum ini sebagai milik mereka dan tidak sesekali akan dikompromi? Adakah Pas kekal dengan pendirian mahu 70 kerusi juga atau sedia menyerahkan sebahagiannya untuk ditandingi oleh Bersatu?

– setuju dan akurkah Pas terhadap hubungan berterusan antara Bersatu dengan DAP dan Amanah?

– kalaupun kerjasama itu wujud, adakah Pas hanya setuju tidak meletakkan calon di tempat Bersatu bertanding saja, tetapi parti itu masih bebas meletakkan calon di kerusi-kerusi lain, khususnya di mana DAP dan Amanah bertanding?

Berjaya atau tidak akhirnya persetujuan kerjasama Bersatu dengan Pas ini, mahu tidak mahu, harus diakui banyak terletak di tangan Hadi.

Jika jiwa dan hati Hadi seteguh pendirian Allahyarham Nik Aziz Nik Mat untuk berlawan serta mengalahkan UMNO dan BN, cerahlah harapan untuk melihat kerjasama itu menjadi realiti.

Tetapi, jika Hadi masih seperti Hadi yang ada sekarang…siapa boleh memberi jaminan?

Ataukah apa yang dipersetujui hari ini hanya merupakan “masa tambahan untuk pementasan drama dapat diteruskan lagi” dan dalam masa yang sama membolehkah Pas terus bermain mata dan “berdating” dengan sesiapa saja sehinggalah tarikh PRU 14 diumumkan?

Apakah rundingan yang dikatakan positif hari ini sebenarnya hanya positif di permukaan saja, tetapi sebenarnya disedari sukar untuk menghasilkan keputusan akhir yang benar-benar positif, bahkan lebih mungkin daripada positif menjadi negatif akhirnya?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.