Kereta Ali Tinju disembur cat merah di luar Bukit Aman

Pemimpin Gerakan Merah, Datuk Mohd Ali Baharom mendakwa kereta disembur dengan cat merah ketika meletakkan kenderaannya itu di tempat letak kereta bertingkat di luar Bukit Aman.

“Kereta saya disembur dengan cat merah…saya telah diminta untuk hadirkan diri saya di Bukit Aman (ibu pejabat polis) oleh pihak polis.

“(Ia berlaku) di tempat letak kereta bertingkat Bukit Aman,” katanya dalam satu catatan Facebook.

Mohd Ali yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju turut berkongsi beberapa keping gambar kereta Toyota Camry milik beliau yang dirosakkannya.

Cat merah disembur di kedua-dua sisi kenderaan.

Ketika dihubungi, Mohd Ali berkata, beliau akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Awal hari ini, Mohd Ali telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberi keterangan.

Keterangan tersebut berhubung protes di luar ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur bagi mendesak pihak polis menangkap penganjur himpunan ‘TangkapMO1’.

Dalam protes tersebut, Mohd Ali menuduh polis sebagai ‘tidur’.

Turut hadir ‘raja repot polis’ Abdul Rani Kulup bersama penyokongnya. – M’kini

.