KERANA 1MDB, MUHYIDDIN BATAL HASRAT BERSARA AWAL

MUHYIDDIN Yassin sebenarnya sudah bersedia untuk bersara daripada politik dan penggal ini adalah yang terakhir buatnya tetapi beliau membatalkan hasrat itu selepas melihat Perdana Menteri Najib Razak merosakkan negara dengan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau membisikkan hasrat persaraannya itu kepada Najib, “ketika hubungan (kami) masih lagi baik”, pada majlis angkat sumpah ahli Parlimen di Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

“Saya beritahu Najib ini penggal saya yang terakhir. Dia tengok saya dan kata ‘saya ingat kita akan sama-sama menyambut tahun 2020’, lebih kurang begitulah.

“Saya tidak pasti apakah dia akan menyambut tahun 2020 (sebagai perdana menteri),” kata Muhyiddin kepada The Malaysia Insight dalam wawancara di pejabatnya, semalam.

Muhyiddin merujuk pada tahun Malaysia sepatutnya menjadi negara maju mengikut Wawasan 2020 yang digagaskan Perdana Menteri Malaysia Keempat, Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Muhyiddin, beliau membatalkan hasrat persaraan itu bukan kerana dipecat daripada kabinet dan kemudiannya daripada Umno tetapi kerana apa yang berlaku pada negara dengan skandal 1MDB.

“Kerana apa yang berlaku, saya bertanya soalan yang sama (semula). Bolehkah saya bersara? Tidak boleh. Saya mesti lakukan sesuatu demi negara,” katanya.

“Kalau saya tidak buat, bolehkah orang lain buat? Ya, Anwar (Ibrahim) boleh tetapi saya mahu jadi sebahagian daripada perjuangan ini dan itulah sebabnya saya sedia untuk meneruskan (tidak jadi bersara).

“Saya mungkin tidak lagi muda dan kuat seperti dulu tetapi saya sedia untuk melakukan apa yang harus saya lakukan,” katanya.  

Muhyiddin disingkirkan daripada kabinet pada Julai 2015 sebelum setahun kemudian, dipecat pula daripada Umno. Beliau kemudian ikut sama menubuhkan Bersatu, yang akan merayakan ulang tahun pertamanya di Muar, Johor, esok.

Muhyiddin, 70, mula menyertai politik pada 1971. Beliau bertanding pilihan raya umumnya yang pertama pada 1978 dan menang kerusi Parlimen Pagoh.

Kerusi itu beliau pertahankan sehingga 1982 sebelum berpindah ke kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang pada Pilihan Raya Umum 1986. Selepas pilihan raya itu, Muhyiddin dilantik menjadi Menteri Besar Johor, sehinggalah berpindah semula ke kawasan Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum 1995.

Biarpun memasuki dekad kelima dalam politik, presiden Bersatu itu berkata beliau hairan dengan sikap rakyat Malaysia yang tidak acuh dengan masalah yang melanda negara.

“Saya tidak mahu membandingkan keadaan dengan negara lain di rantau ini. Saudara tahu bagaimana keadaan di negara-negara itu, tetapi di sini ada sikap tidak acuh.

“Apabila kita bercakap dengan mereka, mereka akan cerita bermacam masalah tetapi mereka tidak mahu tampil ke depan,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com