KERANA 1 LIKE, JMM MINTA JAWI SIASAT AKIDAH MARINA

Kerana menekan satu like pada status berkaitan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Twitter, Marina Mahathir ‘dibawa’ ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Marina didakwa menyukai status pengguna Twitter dikenalli sebagai Mrym. dan menggunakan twithandle @mrymler.

“Kalau iktiraf pasangan LGBT, kan bagus, boleh adopt (ambil sebagai anak angkat) anak-anak yang dibuang straight couples (pasangan lelaki perempuan) ni,” tulis Mrym. dengan memetik laporan berita berhubung kes pembuangan bayi.

Ekoran tindakan Marina itu, Ketua Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan, Faizan Mohd Nor, membuat laporan kepada JAWI dan menggesa badan berkenaan menangkap serta memeriksa akidah anak bekas perdana menteri itu.

Ini kerana, kata Faizan, Marina merupakan seseorang yang dikenali dan dibimbang tindakan tersebut akan memberi kesan kepada masyarakat.

“Dia like (status) kira dia sokong. Kalau tak sokong, jangan like. Kita risau sebab kita memang lawan LGBT.

“Kita tahu dia (Marina) ialah ibu LGBT dengan (penganjuran program) Seksualiti Merdeka, Sister In Islam.

“Hari ini kita cadang supaya (JAWI) tangkap Marina sebab dia public figure, anak tokoh pemimpin yang dihormati, tokoh pemimpin orang Melayu,” katanya kepada media selepas menghantar laporan berkaitan isu itu kepada JAWI di Kuala Lumpur hari ini.

Rendahkan Islam dalam negara

Laporan itu diterima Pegawai Perhubungan Awam JAWI, Nadia Zammil.

Faizan juga berkata, akidah adalah persoalan yang sangat sensitif dan berbahaya.

Justeru katanya JAWI digesa meneliti isu berkenaan dengan cermat dan membuat keputusan sama ada akidah Marina sudah terbatal atau sebaliknya.

Ditanya sama ada JMM akan membuat laporan terhadap Mrym. yang menulis status berkenaan, Faizan berkata, pada hari ini beliau hanya mahu memfokuskan kepada Marina (gambar) sahaja.

“Sebab dia nama besar di Malaysia, anak pemimpin. Kesan dia lebih besar pada rakyat, remaja dan anak-anak.

“Saya nak tekankan, Marina anak tokoh besar, sepatutnya dia jadi contoh pada remaja dan kanak-kanak,” katanya lagi.

Dalam kertas laporan yang diberikan kepada JAWI itu, JMM turut menyenaraikan beberapa dakwaan terhadap Marina yang dianggap menyalahi agama.

Antara perkara yang disenaraikan JMM ialah dia berniat untuk merendah-rendahkan Islam sebagai agama persekutuan.

JMM turut mendakwa, tindakan Marina itu juga mengiktiraf LGBT di Malaysia dan bertentangan dengan peruntukan undang-undang syariah berkaitan transgender.

NGO itu turut meminta JAWI menangkap dan menyiasat Marina kerana dianggap menyokong dan mengiktiraf LGBT yang bertentangan dengan akidah ahli sunnah wal jamaah.

– M’kini

.