KERAKYATAN – TUN MAHATHIR

Menteri Besar Johor berkata bahawa tuduhan saya bahawa 700,000 orang asing akan mendapat kerakyatan Malaysia tidak munasabah.

2. Itu MB Johor. Itu bukan Perdana Menteri Najib. Kalau sebelum Najib menjadi PM saya tuduh bahawa ia akan mempunyai 2.6 billion Ringgit dalam akaun peribadinya di Ambank, siapa yang akan percaya. Orang akan kata saya gila.

3. Tetapi hari ini semua dunia tahu yang Najib telah lesapkan duit itu dari 1MDB yang ditubuh dan dikuasai penuh olehnya. Ya. Memang MB Johor tidak tahu. Memang ahli-ahli UMNO yang hadir dalam mesyuarat agong UMNO tidak tahu kerana telinga dan mata mereka telah disumbat dengan dedak dan mereka hanya boleh dengar cakap-cakap Najib dan konco-konconya schaja.

4. Tetapi dakwaan yang Najib lesapkan duit 1MDB kedalam poketnya memang benar, walaupun jika dakwaan ini dibuat sebelum ia menjadi PM, tidak siapa pun akan percaya.

5. Ya. Memberi kerakyatan kepada 700,000 orang asing memang bunyi tidak masuk akal. Tetapi Najib biasa membuat perkara-perkara yang tidak masuk akal, yang luar biasa.

6. Dizaman Najib, orang yang membuat laporan polis berkenaan duit yang dilesapkan oleh Najib, disoal oleh polis, dimasuk dalam tahanan, dan dihadap ke mahkamah bersama dengan peguamnya atas tuduhan sabotaj ekonomi.

7. Tak masuk akal. Bercanggah dengan undang-undang. Tetapi ini sudah berlaku.

8. Laporan berkenaan dengan jenayah Najib oleh Bank Negara, MACC, Auditor-General didakwa oleh Pendakwa Raya tidak punyai bukti Najib melakukan apa-apa kesalahan, tidak dibenar mahkamah membicara kes, didakwa bahawa laporan ini rahsia Kerajaan, dan Pendakwa Raya menghalang sebarang penyelidikan dibuat berkenaan salahguna wang 1MDB.

9. Semua ini, perkara-perkara ganjil, luar biasa, bertentangan dengan undang-undang, tidak pernah berlaku tetapi sudah berlaku dibawah pemerintahan Najib.

10. Dan berpuluh lagi perkara yang tidak masuk akal sudah pun berlaku, dibawah pemerintahan Najib.

11. Sebab itu dakwaan bahawa 700,000 orang asing ini akan diberi kad pengenalan, di daftar dan mengundi dalam PRU 14 tidak begitu ganjil atau “rubbish”. Najib boleh melakukannya.

12. Hari ini pun sudah ada kes pelawat asing memiliki passport negara lain tetapi I.C Malaysia. Dalam negara Cash is King Najib, pegawai boleh disogok atau cara-cara lain dibuat untuk memberi IC Malaysia kepada 700,000 orang asing yang akan bermastautin di Johor.

13. Bloomberg melapor bahawa di sekeliling JB terdapat 60 project yang boleh diduduki oleh 1½ juta orang. Siapakah yang akan mengisi bangunan pencakar langit di kawasan Iskandar ini.

14. Masuk akalkah jika orang Johor, Melayu, Cina dan India seramai 1½ juta berpindah untuk tinggal dalam projek-projek mewah ini. Tak masuk akal.

15. Untuk 1½ juta orang asing tinggal di sekeliling JB masuk akal. Kononnya nak tinggal hanya 3 bulan musim sejuk sahaja. Sudah ada syarat dan perjanjiankah? Bolehkah kita gambarkan 700,000 orang terbang ke Johor untuk tinggal 3 bulan dan lepas itu 700,000 orang ini terbang balik dan tinggal bandaraya Iskandar JB kosong selama 9 bulan. Fikirkan 1½ juta manusia mengosongkan bandar, pangsapuri, kedai, kilang selama 9 bulan. Sunyi senyap Johor Bharu. Masuk akal?

16. Jika 1½ juta orang asing ini pilih untuk tinggal, untuk bekerja untuk berniaga, untuk melahirkan anak sepanjang tahun dapatkah Mohamad Khalid MB halau mereka keluar.

17. Kalau tidak dapat halau keluar mereka, apakah status mereka. Apakata kalau mereka tuntut untuk jadi pemastautin tetap. Apakata kalau mereka tuntut kerakyatan Malaysia.

18. Apakata kalau senyap-senyap mereka diberi IC Malaysia sebelum PRU 14.

19. Mustahil! Tidak. Najib terdesak. Baginya membuat undang-undang untuk memiliki kuasa penuh, tangkap dan kurung orang, menamat jawatan, menyogok wang, mengguna Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menekan orang, bahkan Badan Pencegah Rasuah untuk menakut rakyat sudah diamal olehnya. Setakat memberi IC, mendaftar sebagai pengundi 700,000 orang asing adalah perkara biasa baginya. Mungkin tak sampai 700,000, mungkin lebih bukan masalah bagi Najib.

20. Melesapkan duit Kerajaan (duit rakyat) berbillion Ringgit baginya tiada masalah. Apabila Presiden Amerika, dihadapan Najib, menyindir tentang penipuan yang dilakukan olehnya, senyumannya kekal dibibir. Tak ada berasa malu sedikit pun.

21. Kes membasuh bersih duit yang dicuri dari 1MDB sehingga Malaysia dikenali sebagai di antara 10 negara rasuah terbesar didunia, kes anak tiri dituduh mencuri ratusan million dollar Amerika untuk membuat filem lucah, tidak sedikit pun menimbul rasa malu oleh Najib.

22. Mat Salleh kata orang ini “has thick skin” mempunyai kulit tebal. Tak tahu malu langsung. Memalu negara dan rakyatnya okay. Asalkan boleh jadi PM.

23. Jika sogokan dan penipuan dilakukan dalam pilihan raya, itu pun okay.

24. Sebab itu bukanlah mustahil jika 700,000 orang asing mengundi dalam PRU 14.

25. Kepada Mohamad Khalid, Menteri Besar Johor, saya ucap tahniah. Awak akan dapat 1 ½ juta orang asing di sekeliling awak. Mereka kononnya tidak akan menjadi rakyat. Tetapi mereka akan berada di sekeliling kamu.

26. Hanya dengan adanya 1 ½ juta orang asing di Johor, akan menjadi masalah kepada kamu. Lihat apa jadi kepada Singapura. Hanya kerana komposisi penduduknya tidak seperti di Malaysia, kita terpaksa keluarkan Singapura dari Malaysia. Apabila JB dikelilingi oleh 1 ½ juta orang asing apakah kita akan merdekakan wilayah Iskandar. Na’uzubillah.

– http://chedet.cc/

.